Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) di GRC Nee Soon, telah ditemui di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada 30 Mac.
Bersama-sama AP GRC Marine Parade sekarang – Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman – beliau dilihat bersalaman dengan penjaja dan penduduk yang sedang bersarapan di Pasar dan Pusat Makanan Eunos Crescent.
Penyertaan Dr Faishal dalam lawatan bertemu penduduk itu mencetuskan tanda tanya apakah beliau mungkin bertanding dalam GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru itu dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang.
Dr Faishal, 57 tahun, memberitahu media bahawa kembalinya beliau di kawasan timur terasa seperti satu kepulangan.
Beliau, yang telah menjadi AP selama empat penggal, menyertai politik pada 2006 sebagai sebahagian daripada pasukan GRC Marine Parade sebelum beliau menyertai GRC Nee Soon pada 2011.
“Rasanya kenangan indah itu datang kembali, dan saya gembira melihat beberapa penduduk yang mengenali saya sejak 2006,” katanya.
Dr Tan berkata Dr Faishal telah banyak membantu dalam membiasakan beliau dan Encik Fahmi dengan kawasan Marine Parade berikutan Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), memandangkan mereka berdua merupakan AP baru penggal pertama ketika itu.
Semasa lawatan itu, Dr Tan juga telah memperkenalkan seorang muka baru, pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang, sebagai sukarelawan lama di GRC East Coast yang bersebelahan, lapor The Straits Times.
Cik Pang, 51 tahun, mempengerusikan kedua-dua Jawatankuasa Eksekutif Wanita Fengshan dan Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (WIN) Persatuan Rakyat (PA).
Beliau telah mengetuai inisiatif seperti Rangkaian Pengasuh WIN yang menyediakan sokongan untuk penjaga, dan memupuk pembinaan masyarakat dan kesukarelawanan dalam kalangan wanita daripada pelbagai latar belakang.
Secara profesional, Cik Pang ialah seorang pengarah pembangunan perniagaan dengan pengalaman selama 19 tahun dalam nasihat audit, cukai dan perniagaan, menurut laman web Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO).
Seorang usahawan pelbagai perniagaan, beliau juga ahli lembaga pengarah SCWO yang aktif, berkhidmat sebagai naib presiden kedua.
Apabila ditanya mengapa beliau mempertimbangkan untuk memasuki politik, Cik Pang berkata beliau ingin menyumbang untuk menjadikan Singapura “tempat bagi keluarga berkembang maju, dan kami boleh membina kepercayaan dan keazaman dengan hati dan perasaan kami”.
Jika diberi peluang, beliau “di sini untuk berkhidmat kepada negara di mana sahaja dan di mana-mana”, tambahnya.
Lawatan bertemu penduduk pada 30 Mac itu berlatarbelakangkan perubahan sempadan pilihan raya terkini, yang akan menyaksikan GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru, menyerap Kawasan Undi Perseorangan (SMC) MacPherson yang ada kini, beberapa bahagian daripada SMC Mountbatten dan Potong Pasir, dan menyerahkan seluruh kawasan Joo Chiat dan estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Chai Chee kepada GRC East Coast yang bersebelahan.
Pada masa ini, GRC Marine Parade GRC mempunyai lima kawasan: Marine Parade, Joo Chiat, Geylang Serai, Braddell Heights dan Kembangan-Chai Chee.
Pada GE2020, Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi GRC itu dengan 57.74 peratus undian bagi mengalahkan pasukan Parti Pekerja (WP).
Selain Dr Tan dan Encik Fahmi, penyandang lain ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong (Joo Chiat), dan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng (Braddell Heights).
Ahli kelima, bekas Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, meletak jawatan pada 2023 selepas insiden hubungan luar nikah.
Sempadan yang dilakar semula itu bermakna ahli penting pasukan itu, Encik Tong, bersedia untuk keluar.
Ini mewujudkan peluang bagi Dr Tan mengetuai pasukan PAP itu pada GE2025, dalam apa yang mungkin menjadi satu pertarungan pelbagai penjuru.
Kedua-dua WP dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, yang akan mempunyai 131,493 pengundi.
WP terus menunjukkan kehadiran di GRC Marine Parade sejak pilihan raya umum lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg