Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan terus bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam (MMO) untuk memperkukuh sokongan yang relevan bagi masyarakat Melayu/Islam, termasuk untuk pesalah dan bekas banduan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Contohnya, Biro Narkotik Pusat (CNB) telah merasmikan sebuah geran baru pada 2024 dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), untuk menyediakan sumber biaya kepada pihak masjid menganjurkan program yang menyokong usaha pencegahan dadah di bawah kempen DrugFreeSG dan Dadah Itu Haram.
Dr Faishal berkata sebanyak 10 acara telah dianjurkan, termasuk Forum Anti-Dadah yang dijalankan Masjid Hasanah untuk ibu bapa dan belia.
“MHA akan terus berganding bahu dan bekerjasama dengan rakan-rakan MMO kami untuk mengukuhkan sokongan bagi mereka yang memerlukan dalam kalangan masyarakat kita, termasuk keluarga dan belia berisiko, dan para pesalah serta bekas banduan yang kurang sokongan keluarga,” kata Dr Faishal semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MHA di Parlimen pada 4 Mac.
Dalam pada itu, beliau turut berkata Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) telah memperkenalkan Model Khidmat Rumah Peralihan dipertingkat dipanggil HSM+ pada 1 Januari 2025 dalam usaha meningkatkan sokongan untuk rejim rumah peralihan.
Sebanyak 11 rumah peralihan kini dirangkumkan di bawah HSM+.
“Di bawah HSM+, individu di bawah penyeliaan akan menjalani tempoh sokongan penjagaan selepas keluar penjara lebih lama. Kakitangan rumah peralihan akan dilengkapi dengan kemahiran untuk bekerja dengan berkesan bersama profil individu di bawah penyeliaan yang berbeza.
“Kerja-kerja prasarana juga akan dilaksanakan untuk mempertingkat aksesibiliti bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan,” kata Dr Faishal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg