Faishal: Muis, rakan masyarakat terus sokong keluarga susuli tragedi di Kallang
Faishal: Muis, rakan masyarakat terus sokong keluarga susuli tragedi di Kallang
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan rakan masyarakat akan terus berhubung dengan keluarga Allahyarham Muhammed Qayyim Daniel Putra Rosli, serta memberikan sokongan yang diperlukan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu catatan di Facebook pada 27 Februari.
Dr Faishal berkata tragedi itu berlaku pada Ramadan, waktu di mana banyak keluarga biasanya berkumpul bersama insan tersayang.
Lantas, pemergian Daniel terasa lebih berat bebanannya bagi keluarga beliau dan masyarakat umum.
“Saya amat berdukacita mendengar pemergian Daniel. Seperti kebanyakan daripada anda, saya juga mengharapkan dan berdoa beliau menerima nasib yang berbeza...
“Tiada ibu bapa yang mahu menghadapi ujian sebegini. Dalam detik yang amat memilukan ini, hati dan doa saya bersama ibu bapa serta keluarga Allahyarham,” katanya.
Allahyarham Daniel, 13 tahun, dilaporkan hilang di Sungai Kallang pada petang 25 Februari semasa memancing bersama rakan-rakannya.
Mayatnya ditemui lewat malam 26 Februari, lebih 24 jam selepas kejadian, menimbulkan kesedihan mendalam kepada keluarganya dan masyarakat.
Dr Faishal turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis dan bomba atas usaha mencari Allahyarham, serta kepada penduduk, sukarelawan dan rakan masyarakat yang tampil membantu dan mendoakan keluarga Daniel.
Dr Faishal menasihati orang ramai supaya memberi ruang dan menghormati privasi keluarga berkenaan, memandangkan ini merupakan saat yang sukar bagi mereka.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka menerima laporan mengenai seseorang yang kelihatan terapung di sungai itu sekitar 10.35 malam.
Daniel diangkat ke darat oleh pegawai bomba SCDF dan Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart), sebelum disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian.

