Daripada kisah suka duka usahawan perniagaan kecil-kecilan hingga cabaran menjaga ibu bapa yang semakin lanjut usia.
Inilah antara kisah yang menyentuh hati Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa beliau memulakan siri lawatan pertamanya untuk bertemu penduduk di serata Singapura.
Lawatan ini diadakan seiringan dengan kunjungannya ke badan-badan Melayu/Islam (MMO), badan India/Islam (IMO), pertubuhan belia dan masjid.
Dalam catatan Facebook pada 5 Oktober, Dr Faishal berkata lawatan sebegini merupakan sebahagian usaha beliau mendekati anggota masyarakat Melayu/Islam di serata Singapura.
Tambahnya, interaksi bersama penduduk membantu beliau memahami sentimen masyarakat –termasuk perkara yang memperkukuh perpaduan mereka serta bidang atau aspek kehidupan yang paling memerlukan sokongan.
“Yang paling meninggalkan kesan mendalam ialah kisah-kisah yang dikongsi, daripada detik-detik kegembiraan ketika membangunkan perniagaan kecil hingga cabaran menjaga ibu bapa yang sudah tua.
“Perbualan seperti ini membantu saya memahami apa yang menjadikan masyarakat kita kukuh, dan di mana bantuan lebih diperlukan,” kata beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Beliau disertai oleh AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, semasa lawatan tersebut.
Menurut Dr Faishal, kawasan East Coast membawa makna istimewa baginya kerana di situlah beliau membesar.
Dalam pada itu, antara lokasi yang dikunjungi mereka termasuk Restoran Mukmin di 129 Bedok North Street 2, serta gerai-gerai di Bedok Corner, di mana beliau berpeluang menikmati sarapan ringan sambil beramah mesra dengan penduduk.
Melalui rakaman video yang dimuat naik, seorang penduduk dapat dilihat menyarankan agar penjaga ibu bapa yang merupakan warga emas turut diberikan cuti khas seperti cuti penjagaan anak.
Menjawab cadangan itu, Dr Faishal berkata: “Kami akan sampaikan perkara ini bagi pihak anda.”
Dr Faishal, yang dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sejak Mei 2025, menegaskan beliau dan pasukannya akan terus turun padang bagi mendengar, memahami dan berkhidmat sebaik mungkin untuk masyarakat Melayu/Islam.
“Ini hanyalah titik permulaan. Dalam minggu dan bulan mendatang, saya berhasrat melawat lebih banyak kawasan, mendengar aspirasi serta kebimbangan anda, dan terus bekerjasama membina masyarakat yang saling menyokong,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg