Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal penawan hati penduduk Nee Soon Central

Mar 1, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah berbaju merah), meraikan hari lahir seorang penduduk Nee Soon, Cik Siti Rodziah Pauzan (barisan depan, dua dari kanan) yang juga pemilik Mak Itam’s Corner, sebuah gerai kedai kopi di Yishun, pada 15 Februari.
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah berbaju merah), meraikan hari lahir seorang penduduk Nee Soon, Cik Siti Rodziah Pauzan (barisan depan, dua dari kanan) yang juga pemilik Mak Itam’s Corner, sebuah gerai kedai kopi di Yishun, pada 15 Februari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim mungkin boleh digelar ‘auntie killer’ atau ‘pemikat mak cik’ di Nee Soon Central.

Setibanya beliau di gerai kedai kopi Mak Itam’s Corner di Yishun baru-baru ini, keadaan yang tenang berubah menjadi kecoh apabila sekumpulan wanita Melayu mula menyapa beliau dan meminta bergambar bersamanya.

Malah, bukan wanita Melayu sahaja, wanita kaum lain juga menyapa dan mula berbual-bual dengannya.

Berita Harian (BH) berada di kedai kopi itu baru-baru ini untuk bersembang dengan Dr Faishal dan kumpulan wanita itu bak enggan berganjak dari meja dan ‘pasang telinga’ apabila wawancara bermula.

“Saya gelarkan mereka Dayang-Dayang Nee Soon,” gurau Dr Faishal sambil ketawa kecil, melambai ke arah mak cik-mak cik itu.

Gelaran itu disambut dengan tawa ceria ‘dayang-dayang’ itu.

Apabila ditanya mengenai rahsia beliau menawan hati penduduknya, terutama golongan wanita, Dr Faishal tergelak dan tersenyum simpul.

Beliau berkata tugasnya sebagai AP ialah untuk berkhidmat kepada seluruh kawasan undi, bukan hanya sebarang kumpulan penduduk tertentu.

“Tiada rahsia, saya hanya jadi diri sendiri. Bila saya jadi diri sendiri, penduduk dapat melihat kelemahan... kekuatan diri saya, dan dari situ wujudnya hubungan antara kami.

“Tetapi, yang penting, saya menganggap tugas saya sebagai satu amanah. Ini kerana mereka (penduduk) telah mengundi untuk saya, dan saya tidak boleh mengambil ringan amanah ni,” jelas Dr Faishal, yang juga Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).

Tambahnya, terdapat sekitar 50 kedai kopi di serata Nee Soon secara keseluruhan, dan kedai kopi ialah tempat kegemarannya untuk mendekati penduduk.

Dr Faishal mula berkhidmat dengan penduduk di Nee Soon Central sejak 14 tahun lalu dan keakraban Dr Faishal dengan penduduk bak ‘rahsia terbuka’.

Wajahnya sering dilihat dalam gambar bersama penduduk yang diterbitkan di media sosial.

Temu bual bersama Dr Faishal itu sebahagian Siri Bersama Anggota Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum (GE) 2025 oleh akhbar ini, yang memaparkan AP Melayu/Islam dalam kawasan undi masing-masing.

Malah, semasa BH berada di kedai kopi itu, Dr Faishal tanpa ragu menyertai kumpulan wanita sama yang sedang meraikan hari lahir rakan mereka, Cik Rodziah Pauzan, yang juga pemilik gerai Mak Itam’s Corner.

Memberitahu BH, kumpulan wanita itu berkata Dr Faishal bukan sekadar AP yang turun padang, malah beliau bagaikan anggota keluarga yang sentiasa ada untuk mendengar, membantu, dan memeriahkan suasana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg