Pemerintah akan memperdalam kerjasama dengan pemimpin dan badan-badan Melayu/Islam (MMO), serta meneroka bidang kolaborasi baru untuk terus mempertingkat masyarakat dan membina masa depan masyarakat bersama untuk generasi akan datang, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menulis dalam satu catatan Facebook pada 22 Ogos, Dr Faishal turut berkata bahawa idea dan saranan yang dikongsi para pemimpin dalam satu sesi dialog yang diadakan pada 21 Ogos akan membantu membimbing pemerintah dalam membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih baik.
Pada 21 Ogos, sekitar 40 pemimpin MMO telah berkumpul dalam sesi dialog ‘SG60: Menggerakkan Masyarakat Ke Hadapan’ anjuran Taman Bacaan dengan kerjasama Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) untuk membincangkan pelbagai isu yang penting kepada masyarakat.
Ini termasuk campur tangan asing dalam politik Singapura, maklumat palsu dan salah, risiko radikalisasi dalam kalangan belia, serta kebajikan dan gaji asatizah selaras dengan pengumuman Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Antaranya, semasa sesi dialog itu, para pemimpin MMO bersatu menolak campur tangan asing dalam politik Singapura, lebih-lebih lagi yang menggunakan maklumat salah dan palsu untuk menggugat ikatan masyarakat dan melemahkan jati diri kebangsaan melalui ruang dalam talian.
Pemimpin tersebut turut menimbulkan keprihatinan mengenai video yang disebarkan di wadah TikTok, terutamanya oleh pihak lain dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, yang amat membimbangkan kerana memberi gambaran negatif serta mengelirukan tentang masyarakat Melayu/Islam.
Dr Faishal berkata beliau berbesar hati melihat pemimpin dan badan-badan Melayu/Islam bersatu untuk melakarkan hala tuju ke hadapan untuk masyarakat sedang negara ini menyambut ulang tahun yang ke-60.
Beliau menambah bahawa sesi dialog itu juga peluang yang tepat pada masanya untuk merenung kemajuan masyarakat sepanjang enam dekad lalu, sementara juga berdepan dengan cabaran hari ini.
“Khususnya, bidang digital telah membawa ancaman baru – daripada radikalisasi dalam talian dan campur tangan asing, kepada penyebaran maklumat salah. Singapura adalah rumah untuk semua rakyat Singapura,” kata beliau.
Dr Faishal turut memuji keberanian dan keyakinan pemimpin tersebut yang telah mengutarakan isu-isu tersebut dan mengalu-alukan saranan yang dikemukakan di sesi dialog itu.
“Idea anda mencerminkan aspirasi dan keperluan masyarakat kita, dan akan membantu membimbing pemerintah dalam membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan masyarakat kita dengan lebih baik.
“Semangat kerjasama inilah yang diperlukan sedang kita maju bersama,” kata beliau.
Dr Faishal turut menambah bahawa sepanjang beberapa dekad lalu, pemimpin masyarakat dan MMO telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh masyarakat – daripada pembangunan negara dan sosial hingga ke pemulihan dan penjagaan untuk mereka yang memerlukan.
“Dedikasi mereka yang tidak berbelah-bahagi telah mempertingkat kehidupan dan memupuk daya tahan dalam masyarakat kita,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg