Pemerintah terus memantau dengan teliti perkembangan di Timur Tengah, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Melahirkan keprihatinannya di atas ketegangan yang memuncak di Timur Tengah, Dr Faishal, dalam catatan Facebook beliau pada 22 Jun berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang bekerja rapat dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA), dan Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) Muis kekal berhubungan rapat dengan para pelajar.
Dr Faishal berkata beliau telah bertanya khabar dan berbincang dengan lebih 40 pemimpin pelajar dari Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura di Mesir (Perkemas) di Mesir dan Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (Siraj), pada 21 Jun.
“Badan-badan pelajar ini berperanan penting dalam menjaga kebajikan, kesejahteraan dan menyediakan sokongan kepada rakan-rakan mereka.
“Pertemuan ini sangat penting – ia adalah peluang untuk saya mendengar dan memahami sendiri kebimbangan mereka.
“Keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan para pelajar kita adalah keutamaan kami. Muis sedang bekerja rapat dengan MFA, dan SLO Muis sentiasa menghubungi para pelajar. Pemerintah akan terus memantau dengan teliti perkembangan di Timur Tengah,” katanya.
Dalam catatannya itu Dr Faishal turut mengucapkan terima kasih kepada Perkemas dan Siraj atas sokongan yang diberi untuk memastikan kesejahteraan para pelajar Singapura di sana.
“Saya juga bangga dengan SLO Muis, Ustaz Syed Muhammad di Kahirah dan Ustaz Amrullah di Jeddah, atas usaha gigih mereka menjaga kebajikan para pelajar kita.
“Dalam masa-masa yang tidak menentu ini, saya berbesar hati bahawa para pelajar kita saling prihatin dan menjaga kebajikan satu sama lain. Ini memastikan setiap pelajar berasa selamat, disokong dan boleh menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka.
“Semangat dan sifat ihsan ini melambangkan kekuatan masyarakat kita, alhamdulillah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg