Penjara di sini mempunyai sistem penjagaan kesihatan dan protokol yang mencukupi untuk merawat banduan, dan boleh menguruskan mereka yang mempunyai pelbagai keadaan kesihatan.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, memberi jaminan itu di Parlimen pada 25 September selepas dua Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) bertanya mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk banduan, lapor The Straits Times (ST).
Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied), bertanya tentang kemudahan penjara susulan hukuman terhadap jutawan hartanah, Encik Ong Beng Seng, baru-baru ini.
AP WP Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) bertanya sama ada penjara akan mengkaji semula kemudahan dan prosedur untuk memastikan keupayaan mengurus banduan yang mempunyai penyakit serius dan risiko jangkitan.
Dr Faishal berkata, untuk banduan dengan keadaan perubatan kompleks, pakar mungkin mencadangkan rawatan khusus yang tidak ada di Kompleks Perubatan Penjara.
Penjara tidak perlu dilengkapi seperti institusi kesihatan awam (PHI) atau pusat kepakaran, namun banduan boleh dibawa ke tempat tersebut jika perlu.
Cik Lim kemudian mengemukakan soalan tambahan berkaitan kes Encik Ong.
Encik Ong, 79 tahun, didenda sebanyak $30,000 pada 15 Ogos kerana menghalang keadilan dalam kes yang melibatkan bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran.
Beliau dikenakan denda maksimum mahkamah daerah atas belas kasihan kerana keadaan kesihatannya yang teruk.
Belas kasihan kehakiman membolehkan hukuman lebih ringan atas sebab luar biasa. Peguamnya berhujah hukuman penjara meningkatkan risiko jatuh dan jangkitan maut.
Cik Lim berkata walaupun penjara ada sistem untuk menjaga banduan dengan penyakit serius, ia belum cukup untuk mengatasi risiko jangkitan dan jatuh yang boleh membawa maut seperti yang disebut dalam penghakiman mahkamah.
Beliau bertanya sama ada Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) boleh menangani perkara itu.
“Berdasarkan apa yang (Dr Faishal) kata tadi, adakah beliau setuju penjara tidak dapat atasi kebimbangan mahkamah tentang risiko jangkitan dan jatuh yang boleh membawa maut?” tanyanya.
Beliau menambah, MHA dan penjara perlu mengkaji sama ada kemudahan perlu dipertingkatkan sejajar dengan kemajuan teknologi penjagaan kesihatan.
Cik Lim juga bertanya mengenai pilihan perintah penempatan luar, yang membolehkan banduan dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai di luar penjara sekiranya mengalami penyakit kritikal atau keadaan lain.
Sebagai respons, Dr Faishal berkata sistem penjagaan kesihatan penjara sejajar dengan piawaian nasional dan mampu mengurus banduan dengan pelbagai keadaan.
Beliau berkata setelah bekerjasama rapat dengan penjara, beliau telah menemui banyak kes yang kompleks dan serius, termasuk yang memerlukan dialisis, kemoterapi, radioterapi, strok atau penjagaan selepas pembedahan.
“Standard penjagaan kami hampir sama dengan di luar, dan sistem kami mencukupi, tetapi hakim akan putuskan berdasarkan fakta kes,” katanya.
Mengenai perintah penempatan luar, Dr Faishal berkata terdapat panel penasihat perubatan dan lembaga semakan penempatan luar yang membantu dalam keputusan perintah tersebut, dan ia pernah digunakan sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg