Usahawan jutawan, Ong Beng Seng, didenda $30,000 pada 15 Ogos atas tuduhan membantu menghalang keadilan dalam kes yang berkait dengan bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran.
Ong, 79 tahun, dikenakan denda maksimum selepas mengaku bersalah pada 4 Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Ketika Hakim Daerah Utama Lee Lit Cheng, menjatuhkan hukuman, Ong hanya memandang ke hadapan tanpa reaksi.
Setelah prosiding selesai, beliau memberi isyarat ‘thumbs up’ kepada salah seorang peguamnya.
Hakim bersetuju dengan pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa kehakiman berdasarkan belas kasihan perlu diberikan dalam kes ini disebabkan keadaan kesihatan Ong yang teruk.
Hakim berkata: “Berdasarkan bukti perubatan yang jelas, tertuduh menghidap mieloma berbilang tahap lanjut (barah sel plasma yang tidak boleh disembuhkan), dan hukuman penjara akan meningkatkan risiko serius kepada nyawanya.”
Kehakiman berdasarkan belas kasihan merujuk kepada kuasa budi bicara mahkamah Singapura untuk memberi hukuman lebih ringan atas faktor-faktor mitigasi yang luar biasa.
Hakim Lee menyatakan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Ong dalam kes ini adalah serius kerana tuduhan yang diakui melibatkan perbuatan yang berpotensi menghalang perjalanan keadilan.
“Jika Ong tidak menghidapi penyakit, hukuman yang sesuai adalah penjara selama tiga bulan,” tambahnya.
Pihak pendakwaan mengakui bahawa hukuman penjara lapan minggu biasanya wajar, tetapi tidak membantah denda kerana penjara boleh membahayakan nyawa Ong.
Peguam Ong, Peguam Kanan Cavinder Bull, mengemukakan hujah bahawa keadaan kesihatan kliennya, yang menghidap mieloma berbilang tahap lanjut, meningkatkan risiko mengancam nyawanya.
Ong tiba di Mahkamah Negara sekitar 2 petang bersama peguam dan pasukan keselamatannya. Prosiding tamat dalam 30 minit, dan beliau dilihat menandatangani buku cek sebelum meninggalkan mahkamah pada 3.25 petang tanpa bercakap dengan media.
Individu yang didapati bersalah membantu menghalang keadilan boleh dijatuhi hukuman penjara hingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Mengikut Kanun Prosedur Jenayah, Mahkamah Daerah boleh mengenakan denda maksimum sebanyak $30,000 untuk kesalahan ini.
Pada Disember 2022, Ong mengajak Encik Iswaran menyertai perjalanan ke Qatar.
Ong menawarkan Iswaran untuk terbang dengan jet peribadinya dan menanggung semua perbelanjaan, termasuk penginapan.
Encik Iswaran menerima tawaran itu dan pada 10 Disember 2022, terbang ke Doha dengan jet Ong, bernilai AS$7,700 ($10,410).
Selepas satu malam, Encik Iswaran pulang ke Singapura dengan penerbangan kelas perniagaan bernilai $5,700, dibayar oleh penganjur perlumbaan Formula Satu, Singapore GP.
Pada Mei 2023, nama Encik Iswaran ditemui dalam dokumen penerbangan Ong ketika Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyiasat satu kes berasingan.
Ong kemudian memaklumkan kepada Encik Iswaran bahawa CPIB telah merampas dokumen itu, mendorong Encik Iswaran meminta hartawan itu supaya meminta Singapore GP memberinya bil bagi penerbangan itu.
Pada 24 Mei, invois dihantar kepada pembantu Iswaran, yang membayar $5,700 kepada Singapore GP. Pihak pendakwa berkata tindakan ini berpotensi menghalang siasatan CPIB atas Encik Iswaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg