Faishal: Penting bantu belia bina daya tahan terhadap ideologi ekstremis
Faishal: Penting bantu belia bina daya tahan terhadap ideologi ekstremis
Masyarakat perlu waspada, dapatkan bantuan awal jika syak sesiapa jadi radikal
Arahan Sekatan (RO) terkini yang dikeluarkan kepada seorang remaja berusia 14 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan bagaimana radikalisasi boleh bermula pada usia yang sangat muda, dan sering berlaku secara senyap dalam talian.
Dalam catatan Facebook pada 28 Januari, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata beliau “sangat bimbang” dengan berita bahawa pelajar tersebut telah menjadi radikal selepas terpengaruh dengan kandungan ekstremis dalam talian.
Beliau menambah kejadian itu merupakan “peringatan yang serius” kepada ibu bapa, pendidik, pemimpin agama dan masyarakat luas untuk terus berwaspada dan mendekati belia.
“Kita mesti membantu mereka mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan daya tahan terhadap ideologi ekstremis, dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa lebih awal, jika kita mengesyaki bahawa mereka telah menjadi radikal,” kata Dr Faishal.
Beliau memberi komen tersebut susulan kenyataan pada 28 Januari oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) bahawa RO telah dikeluarkan kepada seorang pelajar sekolah menengah tiga yang telah menjadi radikal selepas terpengaruh dengan kandungan ekstremis dalam talian dan menganggap dirinya sebagai anggota kumpulan militant ISIS.
Antara lain, remaja itu juga telah menyiarkan kandungan yang menyokong ISIS di akaun media sosialnya, termasuk video pro-ISIS yang telah diciptanya menggunakan rakaman daripada permainan dalam talian Roblox dan Gorebox.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata walaupun sebahagian daripada keluarga dan rakan-rakan remaja itu tahu tentang pandangannya yang menyokong ISIS, tiada seorang pun daripada mereka yang melaporkannya.
“Mujur, ISD telah campur tangan sebelum dia bertindak berdasarkan idea ganasnya itu,” kata Dr Faishal.
“Marilah kita kekal berwaspada dan memastikan Singapura selamat,” tambah beliau.
Dalam kenyataan pada 28 Januari, ISD menggesa orang ramai untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa lebih awal jika mereka mengesyaki bahawa seseorang yang rapat dengan mereka mungkin radikal.
Dengan berbuat demikian, ISD berkata ia akan membolehkan individu yang disyaki radikal mendapat bantuan yang mereka perlukan, dan memastikan masyarakat kekal selamat.
“
“Kita mesti membantu mereka mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan daya tahan terhadap ideologi ekstremis, dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa lebih awal, jika kita mengesyaki bahawa mereka telah menjadi radikal,”
