Sebar video pro-ISIS menerusi Roblox, Gorebox; reka peta bom kelab malam di Bali
Sebar video pro-ISIS menerusi Roblox, Gorebox; reka peta bom kelab malam di Bali
Pelajar, 14 tahun, sengaja sembunyi aktiviti dalam talian untuk elak dari dikesan
Dipengaruhi oleh kandungan dan video berkaitan ISIS, seorang pelajar sekolah menengah tiga berusia 14 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada November 2025, telah menjadi penyokong tegar kumpulan militan itu dan perjuangannya untuk mewujudkan Khalifah Islam sejagat melalui keganasan.
Untuk menunjukkan sokongannya terhadap ISIS, remaja itu mula menyiarkan kandungan pro-ISIS di akaun media sosialnya termasuk video pro-ISIS yang telah diciptanya menggunakan rakaman daripada permainan dalam talian Roblox dan Gorebox.
Dalam permainan itu, dia mencipta semula serangan dan hukuman mati ISIS, dan memainkan peranan sebagai pejuang ISIS yang membunuh ‘orang kafir’ atau musuh ISIS, termasuk memainkan watak sebagai pejuang ISIS dalam permainan itu.
Dia juga telah mensimulasikan serangan ISIS ke atas pangkalan tentera, seperti serangan pengeboman kereta, serangan penembak tepat, atau serangan pengeboman berani mati serta mensimulasikan hukuman mati ISIS dengan menembak watak banduan atau memenggal kepala mereka menggunakan pisau.
Demikian antara beberapa butiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 28 Januari berkenaan remaja berusia 14 tahun yang ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dia merupakan remaja ketiga berusia 14 tahun yang dikenakan tindakan di bawah ISA sejak dua tahun lalu atas aktiviti berkaitan pengganasan.
“Remaja itu melayari Internet untuk mendapatkan sokongan bagi tujuan ISIS dan menggalak orang lain terlibat dalam keganasan bersenjata untuk ISIS.
“Untuk tujuan ini, dia mencipta akaun media sosial baru di pelbagai platform, yang mana dia akan menyiarkan sekurang-kurangnya satu video pro-ISIS yang boleh diakses secara umum setiap hari.
“Beberapa video ini dicipta oleh remaja itu, menggunakan imej pejuang ISIS, rakaman mereka dalam pertempuran, dan nasyid jihad, yang ditemuinya dalam talian,” kata ISD.
Selain ISIS, ISD berkata remaja itu juga menyokong kumpulan pengganas Islam lain seperti Al-Qaeda dan Hamas.
Remaja itu juga mengidolakan pengganas lain seperti pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden dan Anwar al-Awlaki, dan pelaku pengeboman Bali 2002 seperti Imam Samudra.
Mendapat inspirasi daripada pengeboman Bali daripada dokumentari dalam talian, dia telah merangka serangan olok-olok (mock-up) yang menyasarkan kelab malam secara rawak di Bali, menggunakan peta yang telah dimuat turunnya dalam talian.
Walaupun remaja itu percaya bahawa serangan sedemikian akan memajukan tujuan ISIS untuk menubuhkan Khalifah Islam sejagat, ISD berkata dia didapati tidak mengembangkan idea itu lebih lanjut atau membuat sebarang persediaan serangan.
Remaja itu juga percaya ahli komuniti lesbian, gay, biseksual, transjantina dan ‘queer’ (LGBTQ) harus dibunuh selepas melihat bahan-bahan mengenai kejadian tembakan yang diinspirasikan oleh ISIS di sebuah kelab malam gay di Orlando, Florida, pada Jun 2016.
“Kes ini mengetengahkan mengapa kita terus bimbang dengan radikalisasi belia di Singapura, dengan trend yang membimbangkan bahawa mereka yang radikal semakin muda.
“Radikalisasi belia dipermudahkan oleh akses mudah kepada bahan ekstremis dalam talian, dan pendedahan berulang kepada keganasan dan pertumpahan darah, termasuk di platform permainan yang mana mereka boleh mensimulasikan serangan pengganas dan memainkan peranan sebagai pengganas.
“Ini boleh menghilangkan rasa sensitif belia terhadap tindakan keganasan, mengurangkan halangan psikologi mereka terhadap bahaya, dan mengukuhkan kepercayaan radikal mereka,” ujar ISD.
Ia menambah bahawa sejak 2020, ISD telah menangani sembilan rakyat Singapura yang radikal di bawah ISA yang merupakan penyokong ISIS. Lapan daripada mereka adalah belia berumur 20 tahun dan ke bawah.
Dalam kes remaja 14 tahun ini, ISD berkata dia sedar bahawa sokongannya terhadap ISIS menyalahi undang-undang, dan sengaja menyembunyikan aktiviti dalam taliannya untuk mengelak daripada dikesan.
Dia telah berkongsi sokongannya terhadap ISIS dengan ahli keluarganya dan beberapa rakan sekolahnya tetapi tiada seorang pun daripada mereka melaporkannya kepada pihak berkuasa walaupun cuba menghalangnya.
ISD berkata walaupun pihaknya bernasib baik kerana telah mengesan remaja itu sebelum dia bertindak berdasarkan idea ganasnya, ia menambah bahawa pihak berkuasa mungkin tidak selalu dapat mengesan individu yang radikal sebelum mereka bertindak.
“Dalam kes ini, ahli keluarga dan rakan-rakannya sedar tentang pandangan ekstremisnya dan sokongannya terhadap ISIS, tetapi tiada seorang pun daripada mereka melaporkannya.
“ISD menggesa orang ramai untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa lebih awal jika mereka mengesyaki bahawa seseorang yang rapat dengan mereka mungkin radikal.
“Berbuat demikian membolehkan individu yang disyaki radikal mendapat bantuan yang mereka perlukan, dan memastikan masyarakat selamat,” kata ISD.

