Pelajar 14 tahun dikena arahan sekatan ISA, anggap diri anggota ISIS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar 14 tahun dikena arahan sekatan ISA, anggap diri anggota ISIS

Pelajar remaja ketiga berusia 14 tahun ditangani bawah ISA sejak 2024; hasilkan semula senario serangan, hukuman mati ISIS dalam Roblox, Gorebox
Jan 28, 2026 | 2:00 PM

Pelajar 14 tahun dikena arahan sekatan ISA, anggap diri anggota ISIS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, ISA, ISD, ISIS, roblox, youth, extremism
Menerusi permainan dalam talian Roblox dan Gorebox, remaja itu telah menghasilkan semula senario serangan dan hukuman mati ISIS dan memainkan peranan sebagai pejuang ISIS yang membunuh ‘orang kafir’ atau musuh ISIS, termasuk memainkan watak dalam permainannya sebagai pejuang ISIS. - Foto ISD

Seorang pelajar sekolah menengah tiga berusia 14 tahun, yang menjadi radikal selepas terpengaruh dengan kandungan dalam talian dan menganggap dirinya sebagai anggota kumpulan militan ISIS, telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada November 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dia merupakan pelajar sekolah menengah ketiga berusia 14 tahun yang ditangani di bawah ISA sejak 2024 atas kegiatan berkaitan pengganasan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 28 Januari, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata remaja itu mempunyai hasrat untuk ke luar negara bagi memperjuangkan ISIS dan mati syahid di medan perang.

“Kes ini menunjukkan mengapa kita terus bimbang dengan radikalisasi belia di Singapura, dengan trend membimbangkan yang mana mereka yang radikal semakin muda,” kata ISD.

“Sejak 2020, ISD telah menangani sembilan rakyat Singapura yang menjadi radikal di bawah ISA yang merupakan penyokong ISIS. Lapan daripada mereka merupakan belia berusia 20 tahun dan ke bawah,” tambahnya.

Remaja itu mula menjadi radikal pada awal 2023 ketika dia berusia 12 tahun, selepas dia terjumpa video dalam talian yang menunjukkan pejuang ISIS yang berperang menentang tentera Amerika di Al-Fallujah, Iraq.

Selepas menonton video itu, dia mula melihat ISIS sebagai pembela penduduk awam terhadap penindas Amerika dan Iraq.

Menjelang akhir 2023/awal 2024, dia menjadi penyokong kuat ISIS dan perjuangan kumpulan militan itu untuk mewujudkan kekhalifahan Islam sejagat melalui keganasan.

Pada Jun 2024, ISD berkata dia telah mengangkat sumpah bai’ah, atau ikrar taat setia, kepada ISIS, dan selepas itu menganggap dirinya sebagai anggota ISIS.

Di bawah RO, dia tidak dibenarkan menukar alamatnya atau keluar dari Singapura tanpa kebenaran.

Dia juga tidak dibenarkan mengakses Internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, atau mencetak, mengedarkan dan menyumbang kepada mana-mana penerbitan tanpa kelulusan Pengarah ISD.

ISD berkata remaja itu sedar bahawa sokongannya terhadap ISIS menyalahi undang-undang dan dia sengaja menyembunyikan kegiatan dalam talian untuk mengelak daripada dikesan.

Remaja tersebut juga telah menyiarkan kandungan yang menyokong ISIS di akaun media sosialnya, termasuk video yang telah diciptanya menggunakan rakaman daripada permainan dalam talian Roblox dan Gorebox.

Dalam platform permainan itu, ISD berkata remaja itu telah menghasilkan semula senario serangan dan hukuman mati ISIS, dan memainkan peranan sebagai pejuang ISIS yang membunuh ‘orang kafir’ atau musuh ISIS.

“Radikalisasi belia dipermudah dengan adanya akses mudah kepada bahan ekstremis dalam talian dan pendedahan berulang kepada keganasan dan pertumpahan darah, termasuk di platform permainan yang mana mereka boleh mensimulasikan serangan pengganas dan memainkan peranan sebagai pengganas,” kata ISD.

Secara berasingan, ISD juga berkongsi ia telah membebaskan seorang rakyat Singapura berusia 18 tahun daripada tahanan dan mengeluarkan Arahan Penggantungan (SD) kepada individu itu pada Disember 2025.

Ini selepas remaja itu mencapai kemajuan baik dalam pemulihannya dan dinilai tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan pencegahan, kata ISD.

SD adalah arahan untuk menggantung arahan tahanan sedia ada, dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk membatalkannya jika remaja itu tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

Selepas tiga tahun ditahan dan menjalani program pemulihan intensif, ISD berkata remaja itu “tidak lagi memegang kepercayaan ekstremis mahupun sebarang permusuhan terhadap orang bukan Islam, dan telah menolak penggunaan keganasan”.

ISD juga mengumumkan RO yang dikeluarkan terhadap tiga rakyat Singapura yang lain dibenarkan luput setelah tamat tempohnya.

Ini kerana mereka telah mencapai kemajuan yang baik dalam pemulihan mereka, dan tidak lagi memerlukan pengawasan rapi di bawah rejim RO, tambahnya.

Mereka adalah Maksham Mohd Shah, 44 tahun, seorang individu yang pernah menjadi radikal sendiri, dan Mohamed Khalim Jaffar, 63 tahun, seorang bekas ahli Jemaah Islamiyah (JI) yang ditahan pada Januari 2002.

Seorang lagi rakyat Singapura, yang tidak dinamakan, yang pernah menjadi radikal sendiri dan ditahan pada Januari 2020 ketika berusia 17 tahun, juga antara mereka yang dilepaskan dari RO.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg