Masa berkumpul dan mengeratkan hubungan bersama keluarga semasa Ramadan dapat membantu menjauhkan diri daripada dadah, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Berkata demikian semasa melancarkan acara tahunan Dadah Itu Haram (DIH) ‘Date Your Loved Ones Today! (DYLOT)’ pada 23 Mac, Dr Faishal menggalak masyarakat agar terus mengeratkan silaturahim menjangkau Ramadan.
“Melalui DYLOT, kami berharap untuk memberi peringatan bahawa membina dan mengekalkan hubungan kekeluargaan adalah penting.
“Meskipun kadangkala sibuk dengan kerja seharian, ingin diingatkan agar kita terus menggalakkan masyarakat untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan mengeratkan lagi silaturahim supaya ia akan menjangkau bulan Ramadan, sekaligus menjauhkan masyarakat daripada dadah,” kata Dr Faishal.
Sejak pelancaran DIH pada 2018, kempen itu telah melibatkan pengagihan kurma sebagai sebahagian daripada DYLOT.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada kempen DIH anjuran Biro Narkotik Pusat (CNB), yang bertujuan menyebarkan mesej anti-dadah dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam sempena bulan Ramadan.
Ketika pelancaraan acara tahunan tersebut di Masjid Sultan pada petang 23 Mac 2025, paket kurma dan bubur telah diagihkan kepada pengunjung masjid itu serta tempat makanan berdekatan.
Turut menyertai pengagihan bubur kali ini adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan dari pasukan Geylang International Legends.
Selain itu, kempen tersebut juga disokong oleh beberapa rakan kongsi DIH termasuk 70 buah masjid, Persatuan Muhammadiyah, Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), enam madrasah sepenuh masa, tiga rumah pemulihan, Restoran Islamic, dan Kampong Glam Café.
Seramai 55 sukarelawan DIH juga turut serta menghulur bantuan dalam proses membungkus bubur dan kurma ke dalam beg plastik DIH di Masjid Sultan sebelum agihan kepada jemaah selepas solat Asar.
Kumpulan ini terdiri daripada pelbagai agensi dan kumpulan daripada masyarakat.
Antara mereka termasuk Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA); Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS); Rumah Peralihan Pertapis; Imran Mean Volunteer SG; kumpulan motosikal seperti Bikers Subuhan Singapura (BSS), Goodwheelz Bikerz, Otai’s Bikers, dan Scooter Owner Group; kumpulan memancing Team Crossbraided; rangkaian bekas penagih SPS Goal Aspiration (GA) dan Reforming Support Group (RSG), sukarelawan rangkaian Anti-Drug Abuse Advocacy (A3) dan juga peserta Program Penyerapan Jangka Pendek atau Short term immersion program.
Sukarelawan ini telah menyertai pengedaran kurma kepada orang ramai di kawasan bazar Kampong Glam sambil berinteraksi dengan orang ramai mengenai bahaya dadah.
Mengulas tentang pendekatan bersama masyarakat ketika acara tersebut, Dr Faishal berkata beliau telah menerima banyak sokongan dan pandangan yang positif dengan lebih ramai rakan kongsi melibatkan diri dalam inisiatif ini.
“Ini memberi dorongan kepada kami untuk teruskan usaha mendekati masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah.
“Kita tidak boleh berhenti kerana pengedar dadah tidak berhenti.
“Mereka sentiasa mencari (peluang) baru dan sebab itu, usaha kita juga perlu berterusan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg