Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki ditahan, 6.9kg ganja antara dadah dirampas dalam serbuan

Mar 21, 2025 | 6:35 PM
Dadah dianggarkan bernilai lebih $184,000 dan boleh menampung ketagihan sekitar 1,040 penagih selama seminggu.
Dadah dianggarkan bernilai lebih $184,000 dan boleh menampung ketagihan sekitar 1,040 penagih selama seminggu. - Foto CNB

Seorang lelaki 26 tahun telah ditahan selepas dadah termasuk sekitar 6.9 kilogram (kg) ganja ditemui di sebuah kediaman privet berhampiran Cavenagh Road, di kawasan Newton, pada 19 Mac.

Dadah itu dianggarkan bernilai lebih $184,000 dan boleh menampung ketagihan sekitar 1,040 penagih selama seminggu, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam sebuah kenyataan media pada 21 Mac.

Pegawai yang menjalankan serbuan perlu memecah masuk unit itu selepas lelaki berkenaan tidak membenarkan mereka masuk, kata CNB.

Dia kemudian ditahan di sebuah bilik tidur, lapor The Straits Times (ST).

Di bilik itu, pegawai CNB menemui sekitar 6.9kg ganja, 69 gram (g) metamfetamin atau Ice, 21g ketamin, dan 20g ekstasi.

Enam cop ‘asid lisergik dietilamida (LSD)’ dan enam botol ‘gamma-hidroksibutirat (GHB)’, sejenis dadah, turut dirampas.

Lelaki itu juga memiliki sejumlah kecil ganja, ketamin, wang tunai $6,229.50, serta sejumlah mata wang asing.

Pegawai CNB turut menemui 25g ganja, 25g cendawan ‘psilosibin’, 17g Ice, dan sejumlah kecil ketamin, di dalam keretanya di tempat letak kereta kawasan kediaman itu.

Siasatan terhadap lelaki yang ditahan itu masih dijalankan. Jika didapati bersalah mengedar lebih daripada 500g ganja, dia mungkin berdepan dengan hukuman mati.

Kejadian ini menunjukkan permintaan bagi ganja masih ada, kata Timbalan Pengarah Dasar dan Pentadbiran CNB, Encik Sng Chern Hong.

“CNB ingin mengingatkan orang ramai bahawa ganja bukanlah ‘bahan sayuran yang tidak berbahaya’, seperti yang sering digambarkan secara palsu, terutama oleh mereka yang melobi supaya ganja dibenarkan di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau memetik kajian oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) yang menunjukkan ganja menyebabkan kerosakan otak dan dikaitkan dengan masalah kesihatan mental yang serius.

“Jangan salah faham mengenainya, ganja berbahaya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg