Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Bondi: Beri peringatan jelas kebencian agama, kaum ancam keamanan sejagat

Dec 15, 2025 | 10:50 PM
Pihak berkuasa tempatan mengepung salah satu kawasan Pantai Bondi di Sydney, Australia, menyusuli kejadian tembakan beramai-ramai pada 14 Disember ketika satu perayaan Yahudi – kejadian yang terburuk di negara itu dalam hampir 30 tahun yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh.
Pihak berkuasa tempatan mengepung salah satu kawasan Pantai Bondi di Sydney, Australia, menyusuli kejadian tembakan beramai-ramai pada 14 Disember ketika satu perayaan Yahudi – kejadian yang terburuk di negara itu dalam hampir 30 tahun yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh. - Foto AFP

Serangan di Pantai Bondi, Australia yang meragut 16 nyawa merupakan peringatan jelas bahawa anti-semitisme atau fahaman anti-Yahudi terus menjadi hambatan sejagat yang mengancam keamanan, sikap saling menghormati dan sifat perikemanusiaan.

Ini di samping semua bentuk kebencian terhadap agama dan kaum, kata beberapa pertubuhan keagamaan dan pemimpin agama di Singapura.

Pertubuhan dan pemimpin agama tersebut menegaskan serangan terhadap satu penganut agama adalah serangan terhadap kesucian semua agama dan fabrik masyarakat yang harmoni.

Mentelah para pemimpin agama di sini telah berusaha gigih untuk membina masyarakat di mana komuniti berbeza saling hidup bersama dalam penuh persefahaman dan rasa hormat.

Oleh demikian, usaha untuk memupuk dialog antara agama dan perpaduan akan diperkukuhkan lagi susulan serangan itu, tambah wakil pertubuhan-pertubuhan agama.

Serangan tembakan beramai-ramai tersebut dilakukan oleh dua lelaki bersenjata semasa acara cuti Yahudi di Pantai Bondi pada 14 Disember.

Dalam kenyataan pada 15 Disember susuli serangan itu, Pertubuhan Antara Agama (IRO) berkata tragedi itu memperkukuhkan tekad bersama untuk menguatkan lagi ikatan erat silang masyarakat sedemikian di samping berwaspada terhadap benih-benih intoleransi.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jahat ini, keganasan yang berputik daripada anti-semitisme dan meragut 16 nyawa yang berharga manakala mencederakan puluhan lain, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

“Tragedi ini memperkukuhkan tekad kolektif kami bagi mengukuhkan lagi ikatan ini (silang masyarakat), berwaspada terhadap benih-benih intoleransi, dan teruskan usaha memupuk dialog dan perpaduan antara agama,” ujar IRO.

Persekutuan Buddha Singapura berkata pembunuhan beramai-ramai itu mengingatkan rakyat tentang “betapa rapuh dan sukar untuk mengekalkan keharmonian kaum dan agama” di Singapura dan di seluruh dunia.

Dalam satu hantaran Facebook, ia berkata: “Ini juga merupakan saat yang boleh dipelajari untuk kita sentiasa berwaspada terhadap sebarang percubaan, baik secara dalaman mahupun dari luar negara, untuk mencetuskan perpecahan dalam kalangan warga Singapura.”

Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS) pula menyatakan tindakan itu “menyalahi kesucian hidup manusia dan bertentangan dengan ajaran agama”.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya semua tindakan anti-semitisme dan sebarang bentuk keganasan yang menyasarkan komuniti berdasarkan kepercayaan, etnik atau agama mereka,” kata NCCS.

NCCS menambah, ia berdiri teguh dengan penganut Yahudi di Singapura dan di seluruh dunia, dan menegaskan kebencian sedemikian “tidak mempunyai tempat dalam masyarakat” demi “menegakkan maruah, keselamatan dan hak semua orang”.

Lembaga Penasihat Hindu dalam satu kenyataan pula berkata anti-semitisme harus “dikutuk sekeras-kerasnya” dan pelaku keganasan sedemikian perlu ditangani segera dan sekeras mungkin

Hal ini turut dikongsi Persekutuan Tao Singapura dalam satu kenyataan, yang menyatakan serangan itu adalah tindakan berbaur kebencian.

“Ini merupakan pengajaran untuk mendidik semua bahawa kita mesti bersatu, kekal teguh dan memastikan tiada sesiapa yang terjerumus ke dalam perangkap hasutan kebencian ini.

“Keamanan dan keharmonian Singapura hanya dapat dicapai melalui asas kukuh yang telah dibina oleh nenek moyang kita.

“Menerima dan memahami perbezaan kaum dan agama adalah komponen utama dalam menjalin fabrik sosial Singapura,” tambah persekutuan itu.

Sementara itu, pemimpin negara turut mengutuk serangan tersebut.

Dalam catatan Instagram pada 15 Disember, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada sebab untuk keganasan ditujukan kepada orang awam.

Apatah lagi serangan yang bertujuan memecahbelahkan individu atas dasar bangsa atau agama dan menyifatkan tindakan sedemikian “tidak mempunyai asas dalam mana-mana kepercayaan,” katanya.

Raja Britain, Raja Charles berkata beliau dan isteri amat sedih dengan serangan anti-semitisme yang berlaku, dan memuji keberanian polis, petugas kecemasan dan orang awam yang menghalang tragedi daripada menjadi lebih besar.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron; Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio; dan Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, antara lain menyifatkan serangan itu sebagai keganasan berbaur anti-semitisme.

Pemimpin dari India, Palestin, Britain, New Zealand, Israel, Iran, Kesatuan Eropah, Poland, Sepanyol, Norway, Sweden dan Canada turut mengutuk serangan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg