Faishal puji dedikasi Madrasah Al-Arabiah didik pelajar selama 80 tahun
Faishal puji dedikasi Madrasah Al-Arabiah didik pelajar selama 80 tahun
Setiap individu di Singapura, tidak kira latar belakangnya, mesti bersama dan bersatu untuk membangunkan masyarakat.
Ini lebih-lebih lagi dalam konteks dunia hari ini yang semakin mencabar dan berpecah-belah.
Jika kepelbagaian tidak ditangani dengan baik, ia boleh menjadi beban dalam masyarakat.
Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Hadir sebagai tetamu terhormat semasa majlis Haflah Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) yang diadakan di bangunan madrasah tersebut di Toa Payoh pada 14 Februari, Dr Faishal dalam ucapannya berkata:
“Hari ini, kita menetap di dunia yang sangat berbeza dan sejujurnya, dunia yang kita diami memerlukan asas dan keseimbangan yang sangat kukuh.
“Sesiapa sahaja kita, sama ada kita asatizah atau sama ada kita datang dari latar belakang pendidikan berbeza, kita mesti bersatu dan bersama.
“Kita selalu anggap kita yang betul berdasarkan pengalaman dan perspektif kita, tetapi apabila kepelbagaian tidak ditangani dengan baik, ia menjadi liabiliti kepada masyarakat.”
Beliau menyampaikan ucapan tersebut kepada sekitar 350 hadirin termasuk pelajar, pendidik, ibu bapa dan rakan masyarakat lain.
Dalam ucapannya itu, beliau turut memuji usaha dan komitmen MAI dalam memastikan tadbir urus yang baik, pengajaran yang bermutu serta pendidikan yang holistik bagi pelajarnya sepanjang 80 tahun.
Sejak ditubuhkan pada 1946, MAI berdepan pelbagai cabaran termasuk dalam bentuk sumber.
“Sungguhpun berdepan cabaran-cabaran awal itu, dedikasi (MAI) untuk berkhidmat dan mendidik anak muda tidak pernah goyah.
“Para guru dan kakitangan lain kekal setia terhadap sekolah ini, mengatasi segala cabaran bukan sahaja sebagai rakan kerja, tetapi sebagai satu keluarga,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal turut menarik perhatian usaha MAI membentuk pelajar yang berlandaskan iman dan bersedia untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat berbilang agama dan kaum di Singapura.
Antara mereka ialah ‘valedictorian’ (pelajar berprestasi tertinggi), Laiqa Rasyiqah Muhammad Ridzwan, 16 tahun, yang mencapai lapan gred kepujian dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ 2025.
Beliau, yang bercita-cita menjadi seorang doktor, berkata kejayaannya bukan miliknya sendiri, tetapi juga atas usaha, bantuan dan sokongan ramai di kelilingnya.
Ini termasuk ibu bapa, guru dan rakan-rakan sepanjang empat tahun beliau menerima pendidikan di MAI.
“Kepada ibu bapa, keluarga, kawan-kawan dan guru-guru, terima kasih kerana memupuk kami... dan tidak meninggalkan kami dalam kegelapan, kerana memberi kami ruang untuk berkembang mengikut rentak kami sendiri dan juga mempercayai bahawa kemajuan yang konsisten lebih penting daripada cuba mencapai kesempurnaan.
“Setiap seorang daripada kami di sini adalah hasil daripada kesabaran dan keprihatinan itu,” kata Laiqa, yang berharap untuk melanjutkan pelajaran dalam Sains Biofarmaseutikal di Politeknik Singapura. – NUR FATHIN AWALLUDIN
“
“Sungguhpun berdepan cabaran-cabaran awal itu, dedikasi (MAI) untuk berkhidmat dan mendidik anak muda tidak pernah goyah. Para guru dan kakitangan lain kekal setia terhadap sekolah ini, mengatasi segala cabaran bukan sahaja sebagai rakan kerja, tetapi sebagai satu keluarga.”
