Madrasah Al-Ma’arif terus komited mahu perkasa pendidikan
Madrasah Al-Ma’arif terus komited mahu perkasa pendidikan
Madrasah berusia 90 tahun perlukan sokongan masyarakat berterusan bagi tampung kos operasi dan penyelenggaraan
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah berdiri sebagai tonggak pendidikan Islam yang teguh dan lama di negara ini. Pada tahun 2026, madrasah ini berbangga meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-90.
Bermula dari premis sewa di Tanjong Katong Road pada 1936, madrasah ini berpindah ke tanah wakaf milik Bamadhaj di Ipoh Lane (1940-1970) sebelum dinaik taraf dengan bangunan dua tingkat pada 1987.
Penambahan dan pengubahsuaian berterusan pada 1990-an, dan menjelang akhir 2006, bangunan baru di Lorong 39 Geylang bakal siap dibina dan memulakan operasi pada awal 2007.
Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif, Cik Siti Radhiyah Rahmat, peningkatan jumlah pelajar saban tahun mendorong madrasah agar sentiasa menyesuaikan diri dengan tuntutan pendidikan moden.
Beliau menjelaskan:
“Seiring perubahan zaman, madrasah perlu menaik taraf kemudahan dan menyediakan prasarana lengkap untuk pelajar, termasuk makmal sains, makmal IT, perpustakaan dan gelanggang bola keranjang. Bangunan di Lorong 39 Geylang yang kini berusia 20 tahun, memerlukan pengubahsuaian dan pembaikan demi menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar.”
Cik Siti Radhiyah turut menyatakan, meskipun bangunan madrasah kini setinggi lapan tingkat, kapasiti kelas hanya mampu menampung dua kelas bagi setiap peringkat.
“Walaupun permohonan untuk Darjah 1 semakin meningkat, kami hanya mampu menerima 70 pelajar bagi dua kelas. Namun, kami bersyukur kerana sokongan yang tidak putus-putus daripada masyarakat Islam mendorong kami terus bekerja keras memberikan yang terbaik, jelasnya.
Hampir $2 juta diperlukan setiap tahun bagi menampung kos penyelenggaraan dan operasi madrasah. Dengan jumlah yang besar ini, pihak madrasah berharap masyarakat terus membantu demi kesinambungan pendidikan yang bermutu.
“Kami berharap Madrasah Al-Ma’arif kekal relevan dan dapat memberikan pendidikan terbaik, terutamanya kepada pelajar kami. Sokongan yang berterusan amat dialu-alukan, dan sumbangan ikhlas daripada masyarakat amat membantu dalam memastikan misi pendidikan kami tercapai,” tambah Cik Siti Radhiyah.
Menyambut usia yang semakin matang, Madrasah Al-Ma’arif terus mengekalkan visi dan misinya sebagai pusat pendidikan Islam yang unggul, sambil menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan keperluan pelajar. Madrasah ini kekal sebagai simbol pendidikan Islam yang bermutu dan komitmen masyarakat terhadap ilmu dan pembangunan generasi muda.
SEKILAS:
Sumbangan ikhlas boleh dibuat seperti berikut:
1. PayNow ke UEN: S36MM0001G.
2. Perbankan Internet: OCBC 507018232001.
3. Hadir di pejabat madrasah: Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hingga 4:30 petang untuk transaksi melalui wang tunai & Nets.

