Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura (Perkemas) di Mesir telah menawarkan bantuan kepada sekitar 90 keluarga Palestin yang mendapatkan perlindungan di Kahirah pada September lalu.
Menyatakan demikian dalam catatan Facebook beliau pada 1 November semasa lawatannya ke Mesir, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata apa yang dilakukan Perkemas adalah dengan memberi kelegaan kepada keluarga terjejas, dan membantu mereka membangunkan semula kehidupan di Kahirah.
“Salah satu inisiatif terbaru Perkemas adalah membantu keluarga-keluarga pelarian Palestin di Mesir.
“Pada September lalu, Perkemas telah menyalurkan bantuan kepada kira-kira 90 keluarga Palestin yang menerima perlindungan di Kaherah.
“Niat mereka sungguh murni iaitu untuk meringankan beban para keluarga ini dan memberi mereka sedikit sinar harapan dalam perjalanan mereka membina semula kehidupan masing-making.
“Mereka benar-benar mengharumkan nama Singapura di pentas dunia,” tambah Dr Faishal yang bertemu para pelajar Singapura di Mesir.
Dalam catatannya itu, Dr Faishal berkata berkata beliau menggalakkan para pelajar supaya terus berusaha untuk memberi sumbangan bermakna berlandaskan rasa syukur, amanah dan keikhlasan.
“Asatizah dan graduan pengajian Islam kita memainkan peranan sangat penting dalam membentuk landskap keagamaan di Singapura, yang mana mereka boleh membimbing masyarakat dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan dalam dunia yang semakin moden, majmuk dan sentiasa berubah,” ujarnya.
Dr Faishal berada di Kahirah, Mesir dari 31 Oktober hingga 2 November.
Ia merupakan lawatan pertamanya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, dan akan ditemani oleh pegawai kanan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Menurut satu kenyataan Muis pada 30 Oktober, lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Singapura dengan Mesir dalam bidang pendidikan Islam, biasiswa dan pembangunan pelajar, serta meningkatkan kerjasama bagi pembangunan pelajar dan asatizah.
Sepanjang lawatan beliau ke Kahirah, Dr Faishal akan bertemu dengan beberapa tokoh utama Mesir seperti Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Ahmed Al-Tayyeb; Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Menteri Wakaf Agama, Dr Osama Al-Azhary; dan Presiden Universiti Al-Azhar, Dr Salama Dawood.
Dalam catatan Facebooknya itu, Dr Faishal juga berkata bahawa mantan Mufti Kedua Singapura, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, telah berangkat ke Mesir pada 1961, di mana beliau menubuhkan Perkemas bersama para pelajar Singapura di Universiti Al-Azhar.
Allahyarham kemudian menjadi Pengerusi pertamanya.
“Atas dedikasi beliau terhadap ilmu dan masyarakat, asas yang dibinanya kini semakin kukuh.
“Ini termasuk perkembangan Maktabah Perkemas, rumah persatuan para pelajar kita di Bandar Nasr, di mana mereka berkumpul untuk menimba ilmu bersama-sama dan menjalankan pelbagai kegiatan,” tambah Dr Faishal.
Selain itu, beliau juga bakal melawat Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bersama delegasi dari Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) Singapura, sebagai sebahagian daripada kempen bantuan kemanusiaan, Aid for Gaza 2025 RLAF.
Ia bertujuan meninjau dan memperkukuh kerjasama antara Singapura dengan ERC, termasuk pelaksanaan pelbagai projek kemanusiaan di lapangan dalam konteks rancangan pemulihan jangka panjang bagi Gaza.
“
“Asatizah dan graduan pengajian Islam kita memainkan peranan sangat penting dalam membentuk landskap keagamaan di Singapura, yang mana mereka boleh membimbing masyarakat dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan dalam dunia yang semakin moden, majmuk dan sentiasa berubah.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg