Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, akan menjalani lawatan kerja ke Kahirah, Mesir, dari 31 Oktober hingga 2 November.
Ia merupakan lawatan pertamanya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, dan akan ditemani oleh pegawai kanan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Menurut satu kenyataan Muis pada 30 Oktober, lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Singapura dengan Mesir dalam bidang pendidikan Islam, biasiswa dan pembangunan pelajar, serta meningkatkan kerjasama bagi pembangunan pelajar dan asatizah.
Sepanjang lawatan beliau ke Kahirah, Dr Faishal akan bertemu dengan beberapa tokoh utama Mesir seperti Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Ahmed Al-Tayyeb; Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Menteri Wakaf Agama, Dr Osama Al-Azhary; dan Presiden Universiti Al-Azhar, Dr Salama Dawood.
Beliau juga akan bertemu dengan pelajar Singapura di sana, serta Universiti Al-Azhar Al-Sharif, bagi mengukuhkan lagi komitmen Muis dalam menyokong kesejahteraan dan perkembangan pelajar.
Selain itu, beliau juga bakal melawat Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bersama delegasi daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin Foundation (RLAF) Singapura, sebagai sebahagian daripada kempen bantuan kemanusiaan, Aid for Gaza 2025 RLAF.
Ia bertujuan meninjau dan memperkukuh kerjasama antara Singapura dengan ERC, termasuk pelaksanaan pelbagai projek kemanusiaan di lapangan dalam konteks rancangan pemulihan jangka panjang bagi Gaza.
Sementara itu, delegasi Muis juga akan bertemu dengan Pengarah Institusi Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah), Dr Muhammad Al-Shilani, untuk membincangkan reka bentuk kurikulum bagi program ijazah Sarjana Muda di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Perbincangan akan merangkumi peluang penglibatan pelajar secara praktikal serta potensi kerjasama dalam pengkhususan Pengajian Fatwa.
Ini merupakan satu lagi lawatan sulung Dr Faishal sejak menggalas jawatan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Pada 16 hingga 19 Oktober lalu, beliau telah menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21 di Melaka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg