Singapura merupakan negara berbilang kaum dan agama, justeru sikap saling menghormati, saling memahami, serta kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa rasa takut merupakan asas penting kepada jati diri kita.
Demikian ditekankan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu hantaran Facebook pada 21 Disember.
Beliau menyatakan demikian susulan terjadi satu kejadian di Gereja St Joseph di Bukit Timah di mana satu barang mencurigakan ditemui pada pagi 21 Disember.
Meskipun polis mengesahkan pada 11.08 pagi bahawa barang itu tidak berbahaya, Dr Faishal berkata kejadian tersebut tetap menimbulkan keresahan dan perlu dipandang serius.
“Tempat beribadah, sama ada gereja, masjid, kuil, atau tempat ibadah lain, mesti sentiasa kekal sebagai ruang yang selamat, di mana masyarakat dapat beribadah dan berhimpun dengan aman.
“Sebarang kejadian yang mengancam rasa selamat ini boleh menjejaskan kepercayaan dan keharmonian yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menggesa masyarakat Melayu/Islam agar berdiri teguh bersama masyarakat Kristian dalam tempoh ini.
“Seperti mana masyarakat pelbagai agama tampil memberikan sokongan kepada kita selepas kejadian di Masjid Al-Istiqamah beberapa bulan lalu, kita juga mesti terus saling menjaga satu sama lain merentasi batas agama, dengan penuh empati, keprihatinan, dan semangat perpaduan,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg