Pihak polis akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi masyarakat, termasuk tempat ibadat untuk mempertingkat tahap kesediaan masyarakat, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menjelaskan rancangan tersebut, Dr Faishal berkata ia akan menjadi salah satu kerjasama berterusan pihak berkuasa dengan rakan kongsi masyarakat bagi memastikan Singapura lebih bersedia menghadapi sebarang kecemasan.
Kewaspadaan dan kesediaan bagi menentang ancaman pengganasan di ruang awam adalah penting, katanya kepada pihak media semasa Latihan Heartbeat, satu latihan simulasi serangan pengganas yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat pada 18 November.
Dr Faishal berkata demikian seminggu selepas kejadian tikaman di Gereja St Joseph’s di Bukit Timah.
“SPF bekerjasama rapat dengan rakan kongsi masyarakat, termasuk tempat ibadat untuk meningkatkan tahap kesediaan segera melalui pelbagai aktiviti seperti latihan simulasi, dan latihan seperti Latihan Heartbeat.
“Kami akan teruskan usaha sedemikian supaya Singapura akan bersedia,” jelas beliau.
Beliau menegaskan tahap persediaan Singapura akan “menjadi lebih baik apabila kita melakukannya bersama dengan lebih kerap.”
Dengan kerjasama Home Team dan masyarakat, latihan itu bertujuan meningkatkan persediaan masyarakat dalam menangani serangan pengganas di bawah gerakan SGSecure.
SPF berkata: “Latihan itu adalah peringatan dan peluang tepat pada masanya untuk pihak berkepentingan dan pemilik bangunan untuk sentiasa menyemak langkah keselamatan mereka, mengesahkan protokol, dan meningkatkan kesediaan kecemasan terhadap kemungkinan serangan pengganas.”
Ia merupakan sebahagian daripada latihan tahunan berbilang agensi.
Pada 2024, ini adalah kali kedua latihan itu dijalankan.
Latihan terdahulu diadakan di Pusat Penjaja One Punggol pada 23 Ogos.
Latihan Heartbeat ini menyaksikan Divisyen Polis Jurong bekerjasama dengan ITE Kolej Barat untuk menjalankan latihan simulasi di dalam kawasan sekolah bagi memastikan belia kita sentiasa berwaspada terhadap ancaman pengganasan dan sedar akan peranan yang boleh mereka mainkan apabila kejadian seperti itu berlaku,” tambah Dr Faishal.
Sekurang-kurangnya 40 peserta terlibat dalam latihan tersebut, terdiri daripada pegawai SPF, anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), relawan pelajar dan sukarelawan Lionhearters Club.
“Relawan pelajar ini menunjukkan kepada kami betapa pentingnya memperoleh kemahiran seperti pertolongan cemas yang telah dipertingkatkan, agar kami dapat memberi bantuan tepat pada masanya sekiranya berlaku serangan atau sebarang insiden kecemasan,” tambah beliau.
Dr Faishal menekankan bahawa setiap individu dalam masyarakat mempunyai peranan dalam memerangi pengganasan.
“Kita perlu sentiasa berwaspada, memperoleh kemahiran persediaan kecemasan, dan membina hubungan baik antara satu sama lain, bagi mengukuhkan daya tahan masyarakat kita,” katanya lagi.
Laporan lanjut di Muka 4
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg