Jeritan kuat dan tembakan senjata api dapat didengar di Pusat Penjaja One Punggol pada 23 Ogos apabila empat lelaki bersenjata ‘menyerang’ orang ramai di kawasan sekitar dengan pisau.
Mujur ‘serangan’ itu hanya satu simulasi serangan pengganas, yang merupakan sebahagian daripada latihan terselaras tahunan berbilang agensi yang dinamakan ‘Exercise Heartbeat’.
Bercakap kepada media di luar acara itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata setiap rakyat Singapura boleh memainkan peranan dalam usaha memerangi pengganasan.
“Saya ingin menggalakkan setiap daripada kita supaya memainkan peranan dalam usaha memerangi pengganasan – sama ada dengan kekal berwaspada atau melengkapkan diri anda dengan kemahiran persediaan kecemasan.
“Kita juga boleh mengeratkan hubungan antara satu sama lain pada masa aman supaya dapat membina daya tahan kita sebagai sebuah masyarakat,” kata Dr Faishal.
Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap kerjasama antara agensi pertahanan dengan rakan-rakan masyarakat seperti One Punggol untuk menjalankan latihan itu.
Menurutnya, rekaan semula senario yang realistik itu adalah untuk memastikan keberkesanan respons pasukan Home Team serta pihak berkepentingan ketika menangani kecemasan dalam situasi serangan pengganas.
‘Exercise Heartbeat’ 2024 bersempena Persidangan Pengawasan Masyarakat Sejagat (GCPC) 2024. Acara itu, buat julung-julung kalinya, diadakan di hotel Amara Singapore di Tanjong Pagar pada 21 Ogos.
Ia menyaksikan penyertaan 120 pegawai daripada pasukan Pasukan Polis Singapura (SPF), Pasukan Pertahanan Singapura (SCDF), Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pihak berkepentingan masyarakat.
Hampir 200 wakil asing dan tempatan daripada pasukan polis di seluruh dunia, agensi pemerintah tempatan, pemimpin industri dan pihak berkepentingan tempatan memerhatikan latihan itu.
‘Exercise Heartbeat’ dianjurkan oleh SPF dan disokong oleh SCDF dan SAF, dengan kerjasama One Punggol.
Ini merupakan kali pertama ‘Exercise Heartbeat’ dijalankan di hab bersepadu dan disaksikan oleh pegawai polis asing, termasuk wakil daripada Rwanda, Dubai, Belanda, Macau dan Hong Kong.
Pesuruhjaya Perhubungan Awam dan Media bagi Polis Negara Rwanda, ACP Boniface Rutikanga, berkata:
“Mengadakan latihan seperti ini di ruang awam seperti ‘Exercise Heartbeat’ memberi kepercayaan kepada orang awam terhadap keupayaan polis.
Apabila ditanya apa yang beliau pelajari selepas menyaksikan Exercise Heartbeat, Encik Boniface berkata:
“Idea Rondaan Rakyat yang merupakan warga negara memainkan peranan sebagai sukarelawan di samping pihak polis adalah satu perkara yang boleh saya bawa pulang ke Rwanda.
“Penyelarasan antara pegawai penguatkuasaan undang-undang, polis tentera, ambulans dan warga Singapura yang bekerjasama menjamin keselamatan negara adalah sesuatu yang amat membanggakan.”
Skim Rondaan Rakyat (COP) dimulakan pada 1999 dan dilancar bagi membolehkan rondaan daripada masyarakat untuk memberi amaran kepada polis jika mereka melihat kegiatan atau orang yang mencurigakan.
Program ini juga menjadi satu langkah untuk mendekati masyarakat mengenai langkah pencegahan jenayah.
Daripada sekitar 120 peserta yang terlibat dalam simulasi itu, sekitar 10 merupakan anggota COP.
Encik Ziyan Emir Zainal Abidin, 30 tahun, yang bekerja di gerai berdekatan, memuji keberanian anggota COP.
“Dengan simulasi ini, saya dapat lihat kepentingan peranan COP kita.
“Ia penting bagi memudahkan bantuan tiba ke lokasi kejadian secepat mungkin dalam situasi serangan pengganas.
“Anggota COP berada di tempat kejadian sebelum pegawai penguatkuasa tiba,” kata Encik Ziyan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg