Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: S’pura sertai negara lain gesa Israel tamat perang di Gaza

Turut gesa bantuan kemanusiaan disalur kepada mereka yang memerlukan.
Jul 23, 2025 | 11:16 AM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Singapura menyertai negara lain dalam menggesa Israel untuk menamatkan perangnya di Gaza dengan serta-merta dan agar bantuan kemanusiaan tanpa had dibenarkan masuk dan sampai kepada mereka yang amat memerlukan.

Menerusi hantaran di Facebook pada 23 Julai, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, turut menyeru agar semua tebusan yang masih ditahan dibebaskan dengan segera.

“Saya berasa amat sedih dengan pembunuhan orang awam yang berterusan di Gaza. Gambar dan liputan berita dari sana sangat memilukan hati, terutama bagi ramai di Singapura yang merasai kesedihan ini secara mendalam dan peribadi.

“Beberapa negara telah bersatu menyeru agar peperangan dihentikan serta-merta dan supaya bantuan kemanusiaan tanpa sekatan dapat disalurkan kepada mereka yang paling memerlukan,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, dalam hantaran berasingan di Facebooknya pada 23 Julai turut meluahkan kekecewaannya atas krisis yang sedang berlaku di Gaza.

Beliau memetik kata-kata seorang pemimpin Katolik yang menyatakan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza itu “secara moral tidak boleh diterima”, dan bertanya sama ada krisis sebegini “akan menjadi norma baru”.

“25 negara, termasuk sekutu Israel, telah mengutuk pembunuhan rakyat Palestin, melalui “menyalurkan bantuan”. Tetapi tiada apa yang berubah.

“Tahap pelanggaran undang-undang antarabangsa ini yang tidak menghiraukan nyawa manusia, dan keupayaan (Israel) untuk bebas dari hukuman dapat dilihat dengan sepenuhnya dalam pandangan dunia, tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Puan Halimah.

Dr Faishal dan Puan Halimah berkata demikian menyusuli kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 28 negara pada 21 Julai yang menggesa Israel untuk menamatkan perangnya di Gaza dengan segera.

Dalam kenyataan bersama itu, negara-negara mengkritik perang Israel sebagai “pembunuhan tidak berperikemanusiaan” atas rakyat Palestin, termasuk pembunuhan ratusan rakyat yang berada berhampiran tapak pengedaran makanan.

Mereka turut mengutuk apa yang mereka sifatkan sebagai “menyalurkan bantuan titisan” kepada rakyat Palestin di Gaza dan berkata ia “mengerikan” bahawa lebih 800 orang awam telah terbunuh sedang mereka mencari bantuan.

Negara-negara yang mengeluarkan kenyataan itu adalah Australia, Austria, Belgium, Kanada, Cyprus, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Italy, Greece, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan UK.

Mengulas tentang kenyataan tersebut, Dr Faishal berkata: “Saya amat bersetuju dengan desakan ini demi kepentingan kemanusiaan.

“Setiap nyawa itu amat berharga.”

Beliau berkata Singapura secara konsisten telah menyeru agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Gaza sepenuhnya tanpa sebarang halangan.

Singapura juga telah menyokong usaha bantuan antarabangsa dan akan terus memainkan peranannya untuk membantu meringankan penderitaan di Gaza, tambah Dr Faishal.

Singapura merupakan antara negara penyumbang dana ke Gaza yang tekal, dengan negara kecil ini sejauh ini telah menyumbang lebih $21 juta dalam bentuk bantuan kepada mangsa krisis kemanusiaan di Gaza.

Sebelum ini juga, Dr Faishal telah mengumumkan bahawa Singapura akan menghantar sebanyak 16 tan daging korban dalam tin untuk menyokong keperluan keluarga di wilayah Palestin itu.

Mengulas tentang situasi kemanusiaan dan pembunuhan orang awam yang berterusan di Gaza, Dr Faishal berkata:

“Saya berharap pihak-pihak yang terbabit akan mencapai kata sepakat dengan segera, kerana setiap hari peperangan ini berterusan, lebih banyak nyawa yang terkorban dan keluarga yang musnah.

“Keganasan ini tidak boleh diteruskan. Sudah tiba masanya untuk kita menghentikan penderitaan dan berusaha ke arah keamanan untuk semua,” kata Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg