Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Sumbangan lebih $21j S’pura kepada Gaza cerminan dalamnya keihsanan warga

Jun 27, 2025 | 8:19 PM
Faishal, Gaza, derma
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sejauh ini, Singapura telah menyumbang lebih $21 juta dalam bentuk bantuan kepada mangsa krisis kemanusiaan di Gaza.

Ini mencerminkan betapa dalamnya sifat belas ihsan warga Singapura, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

“Alhamdulillah setakat ini Singapura telah menyumbang lebih $21 juta dalam bentuk bantuan kepada Gaza. Pencapaian baik ini mencerminkan sifat ihsan dan kemurahan hati masyarakat kita yang benar-benar ikhlas mahu membantu mereka yang dilanda bencana di Gaza,” kata Dr Faishal.

Beliau bertemu media pada 27 Jun di Hab Islam Singapura di Braddell Road setelah majlis penyampaian cek simbolik bernilai $1 juta antara Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Dr Faishal merupakan tetamu terhormat pada majlis penyampaian cek itu yang merupakan sebahagian inisiatif Aid for Gaza 2025 yang berjaya mengumpulkan lebih $2.4 juta.

Inisiatif yang dikendalikan dari 24 Februari hingga 6 April 2025 itu disokong Unicef, Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dan Humanity Matters.

Dana yang dikumpulkan itu akan menyokong bantuan berterusan termasuk Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH), keperluan kesihatan dan perubatan, pendidikan, sosial dan perlindungan kanak-kanak yang terjejas oleh krisis kemanusiaan di Gaza.

“Krisis kemanusiaan di Gaza memberi kesan mendalam kepada ramai rakyat Singapura. Penyerahan cek hari ini mencerminkan hasrat mendalam kita untuk membantu mangsa-mangsa konflik di Gaza.

“Sumbangan sebanyak $1 juta ini kepada Unicef akan digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, air, bantuan perubatan dan pendidikan mangsa di Gaza, termasuk mereka yang telah dipindahkan ke sempadan Rafah,” ujar Dr Faishal.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pemerintah sentiasa komited untuk terus menyalurkan bantuan kepada penduduk di Gaza, sambil menambah bahawa perincian bantuan tersebut sedang diusahakan dan butiran lanjut akan dikongsi pada masa yang sesuai.

Dr Faishal turut melahirkan rasa gembira dan bangganya terhadap warga Singapura yang “bukan sahaja bercakap, malah mengusahakan” penghuluran bantuan kepada Gaza.

“Kami akan terus melakukan (menghulurkan bantuan) dan meneroka cara bagaimana kami boleh menyumbang dan membantu mereka yang memerlukan, terutamanya dalam masa seperti ini, di mana keamanan amat dihargai,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg