Kekuatan Singapura terletak pada kepelbagaian pandangan dan pematuhan undang-undang demi mengekalkan keamanan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada tiga wanita yang kini dibicarakan di mahkamah berhubung kes penganjuran perarakan tanpa permit di luar perkarangan Istana, iaitu kawasan larangan, pada 2 Februari 2024.
Tiga wanita terbabit ialah Annamalai Kokila Parvathi, 36 tahun; Siti Amirah Mohamed Asrori, 30 tahun; dan Mossamad Sobikun Nahar, 26 tahun.
Bercakap kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Muhajirin di Braddell Road pada 4 Julai, Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata terdapat pelbagai reaksi daripada masyarakat dengan ada yang memberikan kata-kata kurang enak dan serangan peribadi terhadap tertuduh.
“Walaupun kita berbeza pendapat, kita tidak boleh membiarkan perbezaan ini memecahkan masyarakat.
“Kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat bukan sahaja terletak pada apa yang kita perjuangkan, tetapi bagaimana kita menyantuni mereka yang tidak bersependapat dengan kita dan menghormati pandangan orang lain,” ujarnya.
Oleh demikian, Dr Faishal menggesa orang ramai agar lebih berhemah, elakkan daripada serangan peribadi dan membiarkan proses undang-undang berlangsung.
“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi usahlah kita hilang adab. Marilah kita bersikap baik dan berhemah walaupun tidak bersependapat,” tambahnya.
Beliau juga terharu melihat “ramai rakyat Singapura mengambil berat tentang isu keadilan dan kemanusiaan” dan menegaskan ketiga-tiga wanita yang sedang dibicarakan bukan didakwa atas sebab isu yang diperjuangkan, tetapi perarakan itu dilakukan dalam kawasan larangan.
Perbicaraan ketiga-tiga wanita terbabit bermula pada 1 Julai secara bersama di Mahkamah Negara, dengan wanita itu masing-masing dikenakan satu tuduhan di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana menganjurkan perarakan tanpa permit di luar perkarangan Istana.
Mereka sebelum ini didakwa di mahkamah pada 27 Jun 2024 kerana dipercayai membentuk sebuah kumpulan dianggotai sekitar 70 orang untuk mengirimkan surat-surat ke Istana sebagai tanda sokongan terhadap Palestin.
Pada 2 Februari 2024, kumpulan itu dipercayai berhimpun di luar pusat beli-belah Plaza Singapura di Orchard Road sekitar 2 petang, lalu berarak ke arah Istana.
Mereka membawa payung bergambar tembikai sebagai tanda sokongan kepada Palestin di tengah-tengah peperangan yang sedang berlaku antara Israel dengan Hamas.
Warna tembikai adalah sama dengan warna-warna pada bendera Palestin. Buah tembikai juga sudah menjadi simbol perpaduan Palestin.
Jika sabit kesalahan menganjur perarakan yang dilarang di bawah Akta Ketenteraman Awam atau menggalakkan perbuatan tersebut, setiap wanita boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya.
Sementara itu, lawatan Dr Faishal ke masjid itu merupakan sebahagian daripada siri lawatannya ke masjid-masjid untuk bertemu penduduk Melayu/Islam – sejajar dengan matlamatnya untuk menyantuni dan mendapatkan seberapa banyak maklum balas.
Sejak menggalas peranan barunya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei, beliau telah melawat sekurang-kurangnya lima masjid untuk solat Jumaat bagi memahami isu yang membelenggu masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg