Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anjur perarakan luar Istana: Tiada tangkapan kes lalu bukan pembelaan sah

Jul 2, 2025 | 5:02 PM
Siti Amirah Mohamed Asrori, Annamalai Kokila Parvathi, Mossammad Sobikun Nahar, Mahkamah Negara, Istana
Siti Amirah Mohamed Asrori (kiri ke kanan), Annamalai Kokila Parvathi dan Mossammad Sobikun Nahar, tiba di Mahkamah Negara pada 1 Julai. - Foto ST

Tiga wanita dibicarakan setelah mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan menganjurkan perarakan di sekitar Istana tanpa permit.

Mossammad Sobikun Nahar, 26 tahun; Siti Amirah Mohamed Asrori, 30 tahun; dan Annamalai Kokila Parvathi, 36 tahun, hadir di Mahkamah Negara pada hari pertama perbicaraan bersama mereka pada 1 Julai, lapor The Straits Times (ST).

Ketiga-tiga wanita itu masing-masing menghadapi satu tuduhan menganjurkan perarakan di kawasan Istana, yang merupakan kawasan larangan di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Mereka dituduh menganjurkan perarakan itu pada 2 Februari 2024 untuk menyuarakan perpaduan dengan Palestin.

Pegawai penyiasat (IO), Encik Muhammad Faizal, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pertama, berkata beliau ditugaskan menyiasat satu acara digelar ‘Letters for Palestine’ di Istana.

Beliau berkongsi di mahkamah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan sekumpulan 70 orang berkumpul di luar pusat beli-belah Plaza Singapura sebelum berjalan menuju ke Istana.

Rakaman itu menunjukkan Sobikun memimpin kumpulan itu berjalan melalui Orchard Road, Buyong Road dan Cavenagh Road, ke pintu belakang Istana. 

Setibanya di sana, mereka membentuk barisan, dengan beberapa individu memegang payung bercorak tembikai untuk bergambar.

Amirah pula dilihat memegang beberapa helai surat dan membentangkan surat itu sambil bergambar.

Semasa soal balas, peguam bela, Encik Surian Sidambaram, bertanya kepada IO Faizal sama ada acara ‘Letters for Palestine’ itu melibatkan orang ramai menyerahkan surat kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO). IO itu menjawab, “Ya”.

Encik Surian bertanya sama ada terdapat tanda amaran di laluan ke Istana mengenai kesalahan menyerahkan surat kepada PMO. IO itu menjawab, “Tiada”. 

Encik Surian kemudian bertanya jika IO Faizal tahu bahawa pada 11 Januari 2024, sekumpulan 17 orang telah menyerahkan surat kepada PMO melalui laluan yang sama.

IO itu menjawab bahawa beliau mengetahui tentang kes tersebut, tetapi tidak dapat bercakap tentang tujuan kumpulan 17 orang itu.

Encik Surian berkata: “Salah seorang klien saya tidak tahu bahawa menyerahkan surat kepada PMO melalui laluan itu adalah satu kesalahan.

“Oleh kerana tiada tindakan diambil terhadap acara serupa tiga minggu sebelumnya, mereka percaya ia tidak melanggar undang-undang dan mereka juga tidak menganjurkan perarakan di kawasan larangan.”

Peguam bela tersebut kemudian membuat permohonan untuk membentangkan lima kes lalu, di mana orang ramai telah menyerahkan surat atas pelbagai tujuan, tetapi tiada laporan tindakan yang diambil ke atas mereka.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Sunil Nair, membantah permohonan itu, menyatakan kurangnya butiran untuk membuat perbandingan yang tepat.

Encik Surian pula berkata anak guamnya berasa acara mereka tidak melanggar undang-undang, kerana tiada tindakan diambil terhadap kejadian-kejadian lalu itu. 

Hakim Daerah, Encik John Ng, menolak permohonan pembelaan untuk membentangkan bukti kes-kes lalu itu, dengan menyatakan: “Jika seorang budak membaling batu ke tingkap pusat beli-belah, budak kedua tidak boleh kata budak pertama tidak ditangkap dan tiada tindakan diambil terhadapnya, jadi ‘saya pun boleh melakukannya’. Ini bukan pembelaan yang sah.”

Perbicaraan diteruskan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg