Masyarakat Melayu/Islam Singapura kehilangan seorang tokoh ulama terbilang dan pemimpin agama yang dihormati, mantan Mufti Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, yang meninggal dunia pada 7 Julai.
Pemergian Allahyarham pada usia 87 tahun bukan sahaja meninggalkan kekosongan dalam keluarganya, bahkan juga legasi besar dalam pembangunan keagamaan dan sosial masyarakat.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat anak perempuan dan 13 cucu.
Jenazahnya tiba di Masjid Sultan sekitar 4.20 petang untuk disembahyangkan.
Menurut menantu Allahyarham, Ustaz Syed Mustafa Alsagoff, 50 tahun, beliau meninggal dunia akibat sakit tua di rumah.
Mengulas tentang sifat Allahyarham, Ustaz Syed Mustafa berkata beliau seorang yang tenang dan penyayang yang telah dedikasikan hidupnya kepada masyarakat.
“Selain itu, beliau juga seorang ayah yang penyayang dan seorang datuk yang disayangi.
“Beliau seorang yang tegas dan apa-apa pun balik kepada ajaran Al-Quran. Beliau ada prinsip tersendiri dalam memberi pandangannya.
“Beliau juga berani bersuara tentang pandangannya yang beliau rasakan benar berdasarkan agama,” kongsi Ustaz Syed Mustafa.
Beberapa pemimpin Singapura hadir di Masjid Sultan sebelum solat jenazah untuk memberi penghormatan terakhir mereka.
Antara mereka yang hadir adalah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Mufti Dr Nazirudin Nasir.
Dalam kiriman Facebooknya, PM Wong menyatakan Allahyarham memainkan peranan penting dalam membimbing dan memperkasa masyarakat Melayu/Islam di sini.
“Kepimpinannya telah bantu membentuk institusi penting, perkukuh pentadbiran agama, dan menyokong pertumbuhan dan perkembangan masyarakat Melayu/Islam.
“Beliau turut meninggalkan legasi yang berpanjangan melalui generasi pemimpin dan cendekiawan yang dibimbingnya,” tulisnya.
Bercakap kepada media di Masjid Sultan, SM Lee berkata:
“Allahyarham percaya kepada usaha memajukan institusi keagamaan dan pendidikan agama bagi umat Islam, agar masyarakat Islam di Singapura dapat terima bimbingan yang baik serta nasihat agama yang kukuh dalam menghadapi isu yang timbul dalam masyarakat moden.”
SM Lee turut berkata Allahyarham telah memainkan pelbagai peranan sepanjang hayatnya selain menjadi Mufti, termasuk berkhidmat dalam Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum sejak ia ditubuhkan pada tahun 1992 sehingga beliau bersara pada 2010.
Dr Faishal pula berkata bahawa Allahyarham bukan sahaja telah menyumbang kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura, tetapi kepada seluruh negara.
“Dan sama sekali beliau bukan sahaja melihat dari kaca mata masyarakat kita, tapi bagaimana dalam konteks Singapura, kita memberi ruang pembangunan kepada ahli masyarakat, aspek keagamaan dan bagaimana ia boleh membangun dengan negara kita bersama,” ujar Dr Faishal.
Dr Nazirudin Nasir pula menzahirkan penghargaannya terhadap jasa dan pengorbanan besar Allahyarham dalam membangunkan kehidupan beragama masyarakat Islam di Singapura.
Beliau berkata bahawa menerusi panduan fatwa, nasihat dan bimbingan Allahyarham, masyarakat Melayu/Islam Singapura dapat memahami cara menangani cabaran kehidupan unik di Singapura, iaitu sebuah masyarakat majmuk yang hidup bersama bangsa dan agama lain, dalam sebuah negara maju dengan pelbagai cabaran rumit.
Allahyarham juga banyak membantu umat Islam di sini memberikan respons yang bersesuaian dengan konteks tempatan, sambil mengekalkan jati diri keagamaan mereka.
“Beliau telah banyak memberikan bimbingan tersebut melalui fatwa dan sebagainya. Tetapi hatinya sentiasa rapat sangat dengan kebajikan dan pembangunan para asatizah,” ujar Dr Nazirudin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg