Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim telah bertemu Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei, Yang Berhormat Pehin Badaruddin Othman pada 25 November.
Semasa pertemuan tersebut Dr Faishal melahirkan rasa terima kasihnya kepada Pehin Badaruddin “kerana begitu ikhlas dan bermurah hati berkongsi pengalaman, pandangan dan nasihat yang sangat bernas”.
Menyatakan demikian dalam catatan Facebook beliau pada 25 November, Dr Faishal berkata beliau sebelum ini bertemu dengan Pehin Badaruddin pada Oktober semasa menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21 di Melaka.
“Beliau juga merupakan pemimpin pertama yang mengutus surat tahniah sewaktu saya dilantik Mei lalu - sesuatu yang amat saya hargai,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal mengadakan lawatan kerja ke Brunei pada 24 hingga 25 November.
Lawatan kerja itu adalah yang pertama bagi Dr Faishal selepas menggalas jawatan tersebut dan bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan memupuk kemesraan dengan para menteri dan pemimpin agama di Brunei, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya pada 23 November.
Dalam catatan Facebook beliau, Dr Faishal juga menyatakan yang beliau bertemu dengan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, Yang Berbahagia Dato’ Ahmaddin Abdul Rahman.
“Semasa perbincangan, kami berkongsi pandangan tentang keutamaan bersama, termasuk bagaimana kecerdasan buatan (AI) dapat bantu menangani ancaman yang semakin meningkat, sambil menyokong keperluan masyarakat dan memperkukuh keselamatan serta perpaduan sosial kedua-dua negara kita.
“Saya harap dapat meneruskan pertukaran bermakna seperti ini, mempereratkan hubungan antara jiran-jiran kita, dan saling belajar antara satu sama lain sambil kita mengekalkan nilai perpaduan yang dikongsi bersama,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg