Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, akan meneruskan usaha yang dirancang di bawah inisiatif ‘SG60 Bersama’.
Inisiatif itu dilancarkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa konsert meraikan ulang tahun keenam Wisma Geylang Serai (WGS) di Persada Budaya pada 25 Januari.
Inisiatif ‘SG60 Bersama’ antara lain bertujuan memaparkan bagaimana masyarakat Melayu/Islam bersatu padu dalam meraikan pencapaian negara sepanjang enam dekad lalu dan menyusuri sumbangan masyarakat dalam pembangunan Singapura.
Ditemui media di sebuah acara berbasikal masyarakat di WGS pada 25 Mei, Dr Faishal berkata beliau akan meneruskan usaha tersebut selain memperluas dan mendalami dengan lebih terperinci bagaimana beliau boleh memberi ruang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk menyumbang kepada usaha pembangunan masyarakat dan negara.
Di bawah usaha ‘SG60 Bersama’, masyarakat Melayu/Islam Singapura boleh menjangkakan pelbagai kegiatan serta acara bermakna sepanjang tahun untuk merenungkan sumbangan masyarakat kepada pembangunan negara, sedang Singapura meraikan 60 tahun kemerdekaannya pada 2025.
“Justeru, saya akan bekerjasama dengan pertubuhan seperti M Kuasa Tiga (M³), badan Melayu/Islam dan kumpulan tidak rasmi atau kumpulan yang ditubuhkan secara sukarela oleh masyarakat untuk berkongsi maklumat dan amalan terbaik bagi kemajuan Singapura.
“Kami juga ingin memberi ruang untuk mendengar aspirasi dan pandangan masyarakat serta mencari jalan bagi mereka untuk memainkan peranan,” kata Dr Faishal yang juga penasihat utama WGS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg