Keperibadian Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang disenangi masyarakat Melayu/Islam dan sokongan masyarakat terhadapnya adalah sesuatu yang amat diperlukan kini bagi menangani hubungan antara masyarakat dengan pemerintah.
Meskipun kepercayaan masyarakat Melayu/Islam terhadap pemerintah masih utuh, keyakinan terhadap kepimpinan Melayu seakan goyah disebabkan beberapa kejadian kebelakangan ini.
Oleh itu, kebolehan Dr Faishal untuk mendekati masyarakat dengan baik akan sangat membantu dalam tempoh ini, melebihi keupayaan beliau untuk mencetuskan idea atau daya usaha baru bagi masyarakat Melayu.
Dalam podcast NoTapis BHerbual terbaru yang dirakam susulan pengumuman rombakan Kabinet, pengamat politik yang juga Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, berkata hasil Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menunjukkan bahawa masanya sesuai bagi pemimpin baru menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Tugas tersebut disandang oleh Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad sebelum ini.
Beliau digantikan Dr Faishal yang akan menjadi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Pasukan GRC Tampines yang dipimpin Encik Masagos pada GE2025 menang tipis – 52.02 peratus undi sementara Parti Pekerja (WP) yang dianggotai Encik Faisal Manap menerima 47.37 peratus undi.
Pada GE2020, PAP memenangi 66.41 peratus undi di GRC Tampines.
“Ini menunjukkan Perdana Menteri (Encik Lawrence Wong) mendengar rintihan masyarakat... dan pada saya PM tidak ada pilihan lain selain menggantikan Encik Masagos.
“Jadi sekarang ada ruang kosong, kerana apa? Bukan masyarakat Melayu/Islam tidak percaya kepada PAP (Parti Tindakan Rakyat) tetapi mungkin keyakinan terhadap pemimpin itu sendiri sudah terjejas,” ujar Dr Walid.
Beliau berpendapat pemilihan Dr Faishal untuk mengisi ruang tersebut adalah stopgap measure bagi mengembalikan kepercayaan daripada masyarakat Melayu terhadap kepimpinan PAP.
Stopgap measure merujuk kepada penyelesaian sementara bagi menangani suatu masalah sehingga penyelesaian yang lebih kekal dapat ditemui.
Menurut Dr Walid, walaupun Dr Faishal bukan jenis pemimpin yang dianggap mempunyai ciri-ciri seperti “berwawasan”, namun beliau akur beliau mempunyai kelebihan lain yang mungkin lebih diperlukan buat masa ini.
Sementara itu, Peguam dan Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, yang turut berkongsi pandangan dalam podcast tersebut, berkata apa yang harus menjadi keutamaan Dr Faishal dalam masa terdekat ialah menunjukkan bahawa beliau ikhlas dalam mendekati masyarakat Melayu.
“Sepanjang GE, ada tanda-tanda bahawa hubungan masyarakat dengan kepimpinan ada sedikit retak. Itu adalah cabaran terbesar Dr Faishal.
“Saya fikir beliau mesti menunjukkan yang beliau ada rasa empati sebab... saya fikir ramai (sebelum ini) berasa bahawa kita meluahkan sesuatu, buat bising di media sosial, tapi tak ada respons. Jadi orang ramai berasa ada jurang. Oleh itu, yang penting ialah untuk merapatkan jurang itu sekarang.
“Dr Faishal dan anggota-anggota Parlimen Melayu sekarang mesti mendekati masyarakat, berdialog... perlu ada sentuhan peribadi, dan saya fikir Dr Faishal dengan cara beliau yang lembut, boleh melakukan tugas itu,” ulas Encik Nizam.
Encik Nizam dan Dr Walid menambah bahawa masyarakat Melayu mahukan pemimpin yang mendengar dan mempunyai empati terhadap isu-isu yang mereka hadapi.
Memberi contoh, Dr Walid berkata banyak iktibar yang boleh diambil pemimpin Melayu sedia ada daripada perdebatan mengenai isu tudung antara Encik Masagos dengan Anggota Parlimen (AP) pembangkang, Encik Faisal Manap, seketika dahulu.
“Mungkin kerana cara Encik Masagos berbual dengan Encik Faisal di Parlimen – itu yang membuatkan (masyarakat tertanya) kenapa macam gini sekali? Kenapa begitu keras sekali?
“Memang Parlimen itu tempat untuk mengadakan perdebatan, tetapi cara mereka (AP) memberi respons... saya rasa itu sangat penting. Terutama dalam isu-isu yang amat dekat dengan hati masyarakat.
“Tunjukkan rasa rendah hati dan empati. Saya rasa Dr Faishal adalah orang terbaik untuk melakukan ini,” ujar Dr Walid.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg