Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, akan melakukan lawatan kerja ke Arab Saudi dan Jordan dari 6 hingga 11 November.
Ia merupakan lawatan pertamanya ke kededua negara itu sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Lawatan kerja itu bertujuan memperkukuh hubungan keagamaan dan kemanusiaan Singapura dengan Saudi dan Jordan, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan pada 5 November.
Sepanjang lawatan beliau ke Saudi, Dr Faishal akan menghadiri Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah tahunan anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Beliau akan bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, untuk membincangkan persiapan musim haji akan datang.
Kedua-dua menteri juga dijangka menandatangani Perjanjian Haji bagi musim 2026.
Selain itu, Dr Faishal bakal melawat beberapa tapak suci di Makkah serta mengadakan pertemuan dengan ahli panel penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Antara tokoh yang akan ditemui ialah Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) di Jeddah, Profesor Koutoub Moustapha Sano; dan Dekan Sekolah Syariah Universiti Jordan, Profesor Dr Abdul Rahman Al-Kilani.
Pertemuan sedemikian bertujuan memperkukuh hubungan antara Muis dengan SCIS dalam bidang pendidikan dan pemikiran Islam kontemporari, tambah kenyataan itu.
Di Jordan pula, Dr Faishal dijangka menyaksikan majlis penyerahan simbolik sumbangan Singapura berupa produk prostetik kepada inisiatif Jordan, Restoring Hope, yang membantu rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan akibat konflik di Gaza.
Beliau turut dijadual bertemu dengan pelajar Singapura di kedua-dua Saudi dan Jordan untuk mendengar pandangan serta pengalaman mereka sebagai pelajar di luar negara.
Dr Faishal akan diiringi Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Azree Rahim, serta beberapa pegawai kanan pemerintah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg