Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menghadiri majlis perasmian Muzium Agung Mesir (GEM) di Kahirah atas jemputan pemerintah Mesir.
Beliau hadir di majlis perasmian tersebut yang diadakan pada 1 November bersama Duta Singapura ke Mesir, Encik Dominic Goh.
Dalam satu hantaran Facebook pada 4 November, Dr Faishal berkata muzium tersebut merupakan bukti luar biasa bagi warisan budaya Mesir yang kaya dan sumbangan kepada tamadun manusia.
“Muzium agung ini mencerminkan ketamadunan dan warisan budaya Mesir yang begitu kaya serta berpengaruh dalam sejarah dunia.
“Ia menempatkan koleksi artifak purba luar biasa dan merupakan sebuah institusi yang memelihara artifak sejarah untuk tatapan generasi akan datang sambil memperdalam perhargaan kita terhadap kisah kemanusiaan bersama,” ujar beliau.
Muzium tersebut yang terletak hanya dua kilometer dari piramid dan sfinks itu menempatkan lebih 100,000 artifak purba, menjadikannya muzium terbesar di dunia yang dikhususkan kepada satu peradaban.
Dr Faishal turut menekankan kepentingan budaya dan warisan dalam menyatukan masyarakat di peringkat sejagat.
“Saya gembira dapat bersama-sama para pemimpin dan wakil dari pelbagai negara untuk meraikan detik bersejarah ini, dan menyaksikan bagaimana budaya dan warisan terus menghubungkan kita merentasi sempadan dan zaman,” kongsi beliau.
Kunjungan Dr Faishal ke GEM seiring dengan lawatan kerja beliau ke Kahirah, Mesir, yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November.
Ia merupakan lawatan pertamanya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, dan ditemani oleh pegawai kanan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Sebelum ini, Dr Faishal telah bertemu dengan pelajar Singapura di sana dan melawat Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bersama delegasi Yayasan Rahmatan Lil Alamin Foundation (RLAF) Singapura, sebagai sebahagian daripada kempen bantuan kemanusiaan, Aid for Gaza 2025 RLAF.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg