Konflik Israel-Palestin tidak dapat diselesaikan dengan pemindahan kekal dan secara paksa penduduk awam Palestin, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Dalam satu kenyataan pada 20 Mei, MFA turut menggesa semua pihak yang terlibat agar tidak mengambil tindakan sepihak yang menghalang proses damai.
Ia mengulangi gesaan Singapura agar penghantaran bantuan kemanusiaan “segera disambung semula sepenuhnya” untuk para penduduk Palestin di Gaza, dan satu gencatan senjata dilaksanakan dengan segera.
MFA juga menggesa agar semua tebusan yang masih ditahan Hamas dibebaskan segera, lapor The Straits Times (ST).
“Singapura secara konsisten menyeru semua pihak dalam konflik ini supaya mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan memastikan semua orang awam dijauhkan daripada bahaya.
“Prasarana awam termasuk kemudahan perubatan, serta pekerja perubatan, mesti diberi perlindungan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
MFA juga menekankan sokongan Singapura terhadap huraian dua negara yang dirundingkan selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini adalah satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai satu huraian menyeluruh, saksama dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin yang telah lama berlarutan,” tambahnya.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza telah meragut lebih 53,000 nyawa penduduk Palestin, di samping ramai lagi yang cedera serta kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah orang awam.
Satu gencatan senjata selama enam minggu pernah dilaksanakan pada awal 2025.
Namun, Israel kemudian mengenakan sekatan bantuan kemanusiaan pada awal Mac.
Akibatnya, sebuah pemantau kelaparan global memberi amaran pada 12 Mei bahawa sekitar setengah juta penduduk di Gaza kini berdepan ancaman kebuluran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg