Rakyat Singapura tidak boleh mengambil mudah sikap saling hormat menghormati dan kepercayaan yang telah diperkukuh antara masyarakat yang berbeza sejak bertahun lama, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam video yang dimuat naik di Facebook pada 15 Oktober, Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), turut menggesa rakyat Singapura agar tidak sesekali membenarkan perbezaan di kalangan masyarakat dieksploitasi di Singapura.
“Selama bertahun-tahun, hidup bersama dan saling hormat menghormati antara satu sama lain telah mengukuhkan kepercayaan yang mengikat masyarakat kita.
“Kita tidak boleh mengambil mudah.
“Di seluruh dunia, kita telah melihat betapa cepatnya keharmonian boleh terungkai apabila perbezaan dieksploitasi.
“Kita tidak boleh biarkan perkara itu berlaku di sini di Singapura,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal berkata demikian dalam video tersebut bagi menggulung perbincangan yang diadakan di Parlimen berkenaan Kenyataan Menteri yang disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam pada 14 Oktober.
Semasa ucapannya, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, telah menggesa parti politik dan ahli politik untuk menjauhi politik identiti dengan menolak usaha menggunakan kaum dan agama dalam pilihan raya untuk kemenangan politik yang mudah.
Beliau telah menetapkan prinsip asas yang menyokong pendekatan Singapura terhadap kaum dan agama, serta bagaimana ahli politik di sini harus bertindak balas terhadap percubaan masa depan untuk mencetuskan isu sedemikian.
Kenyataannya tersebut mendapat respons daripada beberapa Anggota Parlimen (AP), termasuk Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), dan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast), antara lain.
Encik Zhulkarnain telah bertanya sama ada masyarakat Melayu/Islam disasarkan dalam ucapan Encik Shanmugam, manakala Cik Hazlina berkata bahawa kepelbagaian identiti warga Singapura harus sentiasa menjadi “kekuatan kita, bukan kelemahan kita”.
Encik Saktiandi pula bercakap tentang melindungi kepercayaan yang menyatukan rakyat Singapura manakala Dr Charlene Chen (GRC Tampines) dan Encik Xie Yao Quan (SMC Jurong Central) telah menegaskan semula keharmonian sebagai tanggungjawab semua orang.
Dalam videonya di Facebook, Dr Faishal memuji mereka kerana bertanya soalan penting di Parlimen “secara bertanggungjawab dan berhati-hati” sambil memastikan suara dan kebimbangan masyarakat dapat didengari.
“Mereka mengingatkan kita apa yang menjadikan Singapura istimewa – bahawa pemimpin pengasas kita mempunyai keberanian untuk membina sebuah negara berbilang kaum dan agama,” kata Dr Faishal. “Keberanian itu terus membimbing kita sehingga hari ini”.
Dr Faishal menekankan walaupun masyarakat Melayu/Islam mungkin menjadi sasaran semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), ia tidak terikut dengan “mereka yang cuba memecahbelahkan kita pada masa lalu”.
“Orang lain juga telah cuba menghasut masyarakat Cina dan masyarakat lain dengan cara yang sama,” kata Dr Faishal.
“Tetapi rakyat Singapura dari setiap kaum dan agama, telah menunjukkan kita menolak politik sedemikian.
“Kita akan terus mengatasi percubaan untuk memecahbelahkan kita,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg