Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Gesa rakyat undi calon berdasarkan kaum, agama adalah bahaya

Golongan minoriti akan terima impak paling merugikan berikutan insiden semasa GE2025
Oct 14, 2025 | 8:04 PM
K. Shanmugam, WP, GE2024, campur tangan asing, politik identiti
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam semasa menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai politik identiti atau amalan politik berunsur kaum dan agama di Parlimen pada 14 Oktober. - Foto MDDI

Menggesa rakyat Singapura untuk mengundi parti politik dan calon mengikut kaum dan agama adalah perbuatan yang tidak mengambil kira kesan yang akan timbul dan boleh menjadi kebiasaan berbahaya, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata jika amalan sedemikian berlaku di Singapura, kumpulan agama dan kaum majoriti akan mendapat kehendak mereka dan kumpulan minoriti pula yang akan menderita.

“Sekiranya kita melalui jalan ini berdasarkan politik identiti, kesudahannya adalah kebanyakan parti akan merayu kepada undi Cina dan kumpulan minoriti akan berasa terhimpit dan terpinggir.

“Apabila anda cuba mendapatkan undi Melayu/Islam dengan cara ini, anda berisiko memperdalam isu-isu yang boleh memecahbelahkan dan jika Masyarakat Melayu/Islam bertindak balas, masyarakat lain, khususnya Cina, akan segera menyedarinya.

“Dinamik perkauman dalam politik seperti ini sangat buruk bagi Singapura,” kata Encik Shanmugam, sambil memetik beberapa insiden politik identiti dan campur tangan asing yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai politik identiti atau amalan politik berunsur kaum dan agama di Parlimen pada 14 Oktober.

Dalam ucapan sekitar sejam itu, yang disusuli tempoh mohon penjelasan yang disertai sekurang-kurangnya tujuh Anggota Parlimen (AP) dari kededua bahagian Dewan, Encik Shanmugam berkata keadaan di Singapura secara amnya stabil kerana pemerintah telah meletakkan negara pada asas cita-cita berbilang kaum, dengan parti pemerintah menolak politik identiti.

Namun, bahaya politik identiti menular tetap wujud, kata beliau.

Encik Shanmugam memetik salah satu insiden semasa GE2025, di mana seorang guru agama, Encik Noor Deros – warga Singapura yang berpangkalan di Malaysia – telah menyatakan kerelaan beliau berkempen untuk mana-mana parti politik yang bersetuju dengan tuntutannya.

Encik Noor Deros, dalam hantaran di Facebook pada 19 April, antara lain menuntut supaya sistem kewangan di Singapura diubah supaya berunsur lebih keislaman.

Beliau juga menggesa agar dasar negara yang bertujuan untuk mengekalkan perkadaran kaum sedia ada di sini dihentikan, dengan Encik Shanmugam menyifatkan usulan itu sebagai “sangat merosakkan”.

Encik Noor Deros juga telah berkata pada 23 April bahawa hanya Parti Pekerja (WP) yang mengambil serius tuntutan tersebut.

Beliau juga menyifatkan calon Melayu/Islam WP di GRC Tampines, Encik Faisal Manap, sebagai juara, yang bersuara lebih lantang dalam isu Melayu/Islam, berbanding Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang pada ketika itu menggalas jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dalam satu insiden lain pula, ahli politik Malaysia dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga telah menyatakan sokongan kepada Encik Faisal, dengan seorang ahli politik PAS berkongsi siaran media yang menyatakan bahawa Anggota Parlimen Melayu/Islam PAP tidak boleh dipercayai.

Encik Shanmugam berkata insiden tersebut telah menyebabkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengeluarkan kenyataan bersama pada 25 April yang menyatakan bahaya mencampurkan agama dan politik.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong juga telah berucap pada hari selanjutnya untuk menyeru rakyat Singapura, menolak percampuran kaum dan agama ke dalam politik dan menggesa semua parti politik mengambil pendirian yang jelas untuk menolak politik identiti dan tidak mencampurkan agama dengan politik.

Walaupun WP telah mengeluarkan kenyataannya pada 26 April bahawa parti tersebut tidak membuat komitmen atau perjanjian kepada Encik Noor Deros, Encik Shanmugam mempersoalkan masa dan kesamaran kenyataan itu.

“Lebih banyak lagi perlu diperkatakan oleh WP dan ia perlu diperkatakan serta-merta selepas Deros membuat kenyatannya,” kata Encik Shanmugam, memetik bagaimana WP mengeluarkan kenyataannya beberapa hari selepas Encik Noor Deros menyatakan sokongan untuk WP pada 23 April.

“Itu lebih daripada dua hari selepas Deros mengumumkan pertemuannya dengan WP… Kelewatan ini, mengenai perkara yang begitu penting menimbulkan banyak persoalan… Deros mengatakan semua perkara ini dan WP hanya berdiam.”

Mengenai kenyataan WP, Encik Shanmugam berkata WP “tidak secara mutlak menolak gesaan Encik Noor Deros terhadap umat Islam di Singapura untuk mengundi mengikut garis kaum dan agama, dan juga tidak menolak sokongan Encik Noor Deros untuk calonnya di Tampines, iaitu Encik Faisal.

Hujah Encik Shanmugam itu disambut Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh yang beberapa kali tampil untuk mengemukakan respons atau memohon penjelasan.

Antaranya, Encik Pritam berkata beliau tidak bersetuju dengan hujah Encik Shanmugam bahawa WP “mengambil masa terlalu lama” untuk mengeluarkan kenyataannya.

Beliau berkata parti itu telah memberikan kenyataan selepas MHA dan ELD mengeluarkan kenyataan bersama dan menyusuli kenyataan PM Wong.

Encik Pritam juga berkata adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa WP tidak mengambil serius isu tersebut berdasarkan kandungan kenyataan WP itu.

Menambah, Encik Pritam berkata “WP tidak segan silu untuk bersama-sama mencari huraian jika terdapat perkara yang tidak diingini atau tersilap”.

Beliau memberi contoh perhimpunan di Anchorvale di Sengkang semasa GE2025, di mana WP mendengar cadangan pihak berkuasa dan menutup tapak perhimpunan apabila ia menjadi berbahaya akibat cuaca.

Beliau berkata: “Jika sesuatu beransur menjadi berbahaya, saya fikir terdapat banyak cara untuk menjaga kepentingan negara, bagi pemerintah untuk berkomunikasi dengan parti politik dan berkata, ‘Lihat, ini tidak boleh diterima, dan kami sedang menyampaikan perkara ini. Kami perlu bersama-sama (untuk) menyelesaikannya, membuat kenyataan yang jelas itu.’”

Beliau menambah bahawa beliau tidak tahu siapa Encik Noor Deros sebelum pilihan raya, dan tidak pasti sama ada guru agama itu dikenali pemerintah.

“Bagi WP, kami tidak mempunyai bilik gerakan atau pejabat Pofma (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian) untuk memantau apa yang orang asing atau apa yang orang katakan tentang politik,” kata Encik Pritam.

Dalam responsnya, Encik Shanmugam menyatakan walaupun WP telah menolak PAS, parti itu tidak menolak “kelakuan yang sangat serius” oleh Encik Noor Deros, iaitu meminta umat Islam di sini menyokong WP berpandukan kaum dan agama, selain meminta pengundi di Tampines mengundi Encik Faisal.

Beliau menambah WP juga tidak menolak seruan Encik Noor kepada umat Islam di Singapura untuk mengundi mengikut garis kaum dan agama, dan juga tidak menolak sokongannya terhadap ketua parti itu di Tampines iaitu Encik Faisal.

“Sebaliknya, apa yang dikatakan bahawa tiada komitmen, janji atau perjanjian telah dibuat kepada Noor Deros.

“Itu sesuatu yang anda mungkin dapati apabila peguam merangka kenyataan untuk satu sama lain.

“Anda tidak melihatnya dalam kenyataan politik, yang sepatutnya jelas dan tidak berbelah bahagi,” kata Encik Shanmugam.

Beliau juga berharap terdapat kesepakatan bahawa apa yang Encik Noor Deros lakukan dan katakan tidak boleh diterima dan ia sepatutnya dibalas dengan segera serta ditolak tanpa berbelah bahagi”.

Encik Pritam berkata beliau menerima apa yang Encik Shanmugam katakan, bahawa kenyataan WP mengenai Encik Noor Deros mungkin boleh lebih jelas, tetapi juga ia boleh menimbulkan persoalan tentang peranan pemerintah dalam membangkitkan insiden sedemikian, apabila ia berlaku.

Beliau juga membangkitkan isu bahawa apabila perkara seperti itu berlaku, terdapat ‘asimetri maklumat’ atau keupayaan pemerintah mempunyai perspektif yang jauh lebih luas daripada parti politik kecil, yang dikatakannya tidak mempunyai sumber seperti pemerintah.

Beliau berkata ia tidak “terlalu sukar” untuk mendekati parti-parti politik demi kepentingan negara jika cukup serius untuk Perdana Menteri berhenti seketika semasa berkempen untuk menjelaskan sesuatu perkara.

Encik Shanmugam berkata pemerintah akan mempertimbangkan cadangan Encik Pritam tetapi apa yang beliau inginkan ialah penerimaan tanggungjawab yang lebih tegas.

Beliau menekankan bahawa pemerintah tidak tahu apa yang berlaku antara Encik Noor dengan pemimpin WP.

Dalam jawapannya, Encik Pritam mengulangi bahawa partinya menjelaskan pendirian mereka bahawa ia tidak memerlukan sokongan yang diperoleh dengan berkempen atas dasar perkauman dan agama.

“Saya rasa itu tidak berbelah bahagi… Saya tidak fikir saya boleh lebih jelas daripada itu, tetapi intipati apa yang menteri telah nyatakan dalam kenyataan menterinya tidak boleh disangkal,” kata Encik Pritam.

“Sekiranya kita melalui jalan ini berdasarkan politik identiti, kesudahannya adalah kebanyakan parti akan merayu kepada undi Cina dan kumpulan minoriti akan berasa terhimpit dan terpinggir. Apabila anda cuba mendapatkan undi Melayu/Islam dengan cara ini, anda berisiko memperdalam isu-isu yang boleh memecahbelahkan dan jika Masyarakat Melayu/Islam bertindak balas, masyarakat lain, khususnya Cina, akan segera menyedarinya. Dinamik perkauman dalam politik seperti ini sangat buruk bagi Singapura.”
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg