Faishal: Usaha pelihara niaga warisan perlu kerjasama pelbagai pihak
Faishal: Usaha pelihara niaga warisan perlu kerjasama pelbagai pihak
Ulang tahun ke-105 Islamic Restaurant bukti perniagaan boleh kekal relevan rentas zaman
Sedang pemerintah kekal komited menyokong usaha pemeliharaan warisan Singapura, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata misi tersebut memerlukan usaha kolektif semua pihak berkepentingan.
“Saya harap kita dapat bersama-sama menjaga warisan kita dan pemerintah akan terus memberi sokongan serta ruang untuk membangunkan warisan di Singapura.
“Usaha mengekalkan warisan memerlukan kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Ditemui Berita Harian (BH) semasa sambutan ulang tahun ke-105 Islamic Restaurant pada 22 Februari, beliau menyifatkan keupayaan perniagaan itu kekal relevan dalam menghidangkan masakan tradisi merentas generasi sebagai satu pencapaian yang wajar diraikan.
“Restoran seperti ini memberi pilihan kepada kita untuk terus menikmati makanan tradisi dan pada masa sama menunjukkan bagaimana sebuah perusahaan boleh kekal relevan dan berjaya merentas zaman,” kata Dr Faishal.
Restoran warisan yang terkenal dengan hidangan beriani itu menyambut ulang tahunnya dengan mengagihkan sebanyak 3,105 pek nasi beriani dari restoran tersebut kepada masyarakat.
Majlis sambutan itu turut menyaksikan Dr Faishal, selaku tetamu terhormat acara tersebut, turun padang membantu mengagihkan nasi beriani di restoran yang terletak di North Bridge Road itu.
Pengasas restoran tersebut, Almarhum M. Abdul Rahiman, pernah berkhidmat sebagai cef kepada keluarga Alsagoff.
Hidangan nasi beriani berinspirasikan makanan dari Turkey dan India yang dimasaknya menjadi kegemaran keluarga tersebut serta tetamu kehormat, termasuk Gabenor Britain yang dijemput ke kediaman mereka.
Pengalaman serta kepuasan melihat masyarakat menikmati hidangannya mendorong beliau membuka Islamic Restaurant pada 1921, dengan nasi beriani sebagai hidangan utama.
Pemilik generasi ketiga, Encik Kaliloor Rahaman, 64 tahun, berkata inisiatif pengagihan pek nasi beriani selaras dengan tradisi keluarganya yang sentiasa mengutamakan masyarakat.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Ada pelanggan setia, orang awam dan juga pelancong yang datang mengambil pek beriani,” katanya.
Menurut Encik Kaliloor, antara keunikan restoran itu ialah keupayaannya bertahan sepanjang 105 tahun dengan hanya satu produk utama, beriani.
“Kami hanya ada satu produk utama dan itulah kekuatan kami. Resipi gabungan Turkey dan India yang dibangunkan datuk saya sukar ditiru dan menjadi identiti jenama kami,” katanya.
Beliau juga berkata bahawa resipi tersebut sejak awal lagi mengambil kira cita rasa masyarakat berbilang kaum di Singapura.
Beliau menjelaskan bahawa meskipun resipi asal berusia lebih satu abad itu dikekalkan, operasi perniagaan sentiasa dimodenkan agar kekal relevan dalam landskap industri makanan dan minuman yang semakin kompetitif.
“Dunia berubah, jadi kita juga mesti berubah jika mahu kekal. Tetapi asas dan warisan mesti kita jaga,” katanya.
Selain memasak beriani, restoran mereka juga telah menghasilkan pes beriani sedia dimasak, yang membantu mereka mencapai pemasaran global.
“Untuk pastikan perniagaan kami akan kekal lagi untuk 300 atau 500 tahun, model perniagaan kami juga perlu terus dipertingkatkan dan diperhalusi,” ujarnya.
Sepanjang lebih satu abad operasi, Islamic Restaurant berdepan pelbagai cabaran termasuk penularan wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) dan Covid-19, yang memberi kesan besar kepada sektor makanan dan minuman.
“Kita mesti sentiasa bersedia menghadapi situasi luar jangka. Selain persediaan, semangat dan rasa bangga terhadap apa yang kita lakukan amat penting untuk terus berjaya,” ujar Encik Kaliloor.
Beliau menyifatkan sifat siap sedia menghadapi krisis sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang perniagaan keluarga itu.
Antara kenangan paling bermakna pula baginya ialah sambutan ulang tahun ke-103 yang dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang meluangkan masa hampir empat setengah jam di restorannya.

