Topik diikuti
Pergi ke BHkuFandi dilantik duta Lenovo sempena Piala Dunia
Fandi dilantik duta Lenovo sempena Piala Dunia
Fandi dilantik duta Lenovo sempena Piala Dunia
Legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, dilantik sebagai duta jenama Lenovo Singapore, dengan syarikat teknologi itu memanfaatkan pengaruh beliau dalam memberi inspirasi kepada belia menerusi sukan, teknologi dan Piala Dunia 2026 ini.
Pada acara pelancaran X *SCAPE: Sports Edition dan Lenovo Re:Match di Scape pada 12 Jun, Fandi, 64 tahun, menggesa golongan muda supaya mengamalkan disiplin, keazaman dan daya tahan dalam mengejar cita-cita mereka.
Beliau berkata sukan, khususnya bola sepak, memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan keyakinan belia, selain menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Bola sepak menyatukan orang ramai di seluruh dunia. Bagi belia, mereka boleh belajar banyak daripada perlawanan besar seperti ini,” jelas Fandi.
Menurutnya, anak muda yang ingin berjaya dalam sukan perlu fokus dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.
“Jika anda takut menghadapi cabaran dalam hidup, anda tidak akan mencapai apa-apa. Anda tidak boleh takut. Anda mesti melaluinya,” katanya.
X SCAPE: Sports Edition merupakan pesta kemasyarakatan selama enam minggu, dari 12 Jun hingga 31 Julai, yang menggabungkan bola sepak, teknologi dan budaya belia. Lenovo Re:Match pula menyediakan ruang pengalaman yang mempamerkan inisiatif teknologi Lenovo sempena musim Piala Dunia.
Ruang Lenovo Re:Match Experience Store, yang dibuka di Scape #03-07 hingga 31 Julai, dilancarkan oleh Lenovo FIFA Creators, Fandi dan anaknya, Irfan. Ia mempamerkan bagaimana peranti, khidmat dan huraian Lenovo menyokong Piala Dunia, termasuk dalam aspek pengalaman peminat, operasi acara dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Festival itu turut menampilkan program seperti bola keranjang elit FIBA 3x3 Lion City Challenger, bola sepak belia, persembahan gaya bebas, bengkel BMX, pertunjukan papan selaju, tayangan filem dan seni pemasangan bertemakan bola sepak.
Acara menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2026 juga akan diadakan pada 19 Julai di SCAPE Ground Theatre.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai ramalannya bagi juara Piala Dunia, Fandi berkata beliau menjangkakan Argentina, Perancis, Jerman dan Sepanyol sebagai antara pasukan pilihan, sambil berharap England juga boleh pergi jauh dalam kejuaraan kali ini.
“Saya harap England juga boleh pergi jauh kerana ramai peminat Liga Perdana England di sini. Tetapi Argentina, Sepanyol dan Perancis juga bukan calang-calang,” katanya.
