Topik diikuti
Pergi ke BHkuBrazil bakal diuji Maghribi dalam era baharu Ancelotti
Brazil bakal diuji Maghribi dalam era baharu Ancelotti
Skuad Maghribi di bawah bimbingan Mohamed Ouahbi dianggap lebih matang berbanding pada 2022
Brazil bakal diuji Maghribi dalam era baharu Ancelotti
Brazil akan memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan ujian yang jauh lebih rumit daripada apa yang dijangkakan, apabila mereka berdepan Maghribi pada 14 Jun (6 pagi waktu Singapura) di Stadium New York/New Jersey, East Rutherford, Amerika Syarikat.
Buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak moden mereka, Brazil melangkah ke pentas terbesar dunia di bawah bimbingan Carlo Ancelotti.
Jurulatih Italy yang sarat dengan kejayaan di peringkat kelab itu diberikan tugas besar untuk mengembalikan Brazil ke takhta dunia, selepas penantian yang kini mencecah 24 tahun.
Namun, permulaan kempen mereka hadir dengan satu cabaran yang tidak boleh dipandang ringan.
Maghribi bukan lagi pasukan yang sekadar berharap kepada keajaiban.
Mereka telah membuktikan kemampuan sebenar apabila mencipta sejarah sebagai negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia pada 2022, dengan ramai pemerhati percaya skuad yang kini dikendalikan Mohamed Ouahbi lebih matang berbanding empat tahun lalu.
Bagi Brazil, tumpuan utama sudah tentu terarah kepada Vinicius Junior.
Penyerang Real Madrid itu kini menjadi wajah utama skuad kebangsaan selepas beberapa tahun berkembang menjadi antara pemain paling berpengaruh di dunia.
Dengan ketangkasan luar biasa serta keupayaan mencipta sesuatu daripada situasi yang kelihatan buntu, Vinicius dijangka menjadi sumber ancaman terbesar buat benteng Maghribi.
Di sampingnya, Raphinha turut memasuki kejohanan dalam prestasi memberangsangkan.
Pemain sayap Barcelona itu menikmati musim yang produktif dan dijangka memainkan peranan penting dalam usaha Brazil memecahkan benteng pertahanan lawan.
Walaupun Neymar kembali menyertai skuad selepas tempoh panjang dibelenggu kecederaan, tumpuan Brazil kini tidak lagi kepada pemain individu semata-mata.
Ancelotti dilihat berusaha membentuk pasukan yang lebih seimbang dan kurang bergantung kepada kreativiti seorang pemain.
Jika Brazil memiliki kelebihan dari segi mutu permainan individu, Maghribi pula hadir dengan kekuatan kolektif yang sudah terbukti di pentas antarabangsa.
Kejayaan mereka beberapa tahun kebelakangan ini dibina atas asas disiplin taktikal yang sangat kukuh.
Ketika ramai pasukan gemar menguasai bola, Maghribi cukup selesa bertahan dengan sabar sebelum melancarkan serangan balas yang pantas dan tepat.
Kapten Achraf Hakimi kekal sebagai tonggak utama pasukan.
Bek kanan Paris Saint-Germain (PSG) itu bukan sahaja berfungsi sebagai benteng pertahanan, malah sering menjadi pencetus serangan menerusi larian agresif dari bahagian sayap.
Di hadapan, Sofiane Rahimi dan Youssef En-Nesyri dijangka menjadi sandaran untuk menghukum sebarang kesilapan yang dilakukan Brazil.
Apa yang pasti, Maghribi tidak akan gentar berdepan nama besar lawan mereka.
Malah, mereka pernah menewaskan Brazil 2-1 dalam perlawanan persahabatan pada 2023, satu keputusan yang mengukuhkan keyakinan bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi bola sepak dunia.
Dari sudut sejarah Piala Dunia, Brazil sememangnya mempunyai pengalaman yang tidak mampu ditandingi kebanyakan negara.
Lima gelaran dunia dan tradisi panjang melahirkan pemain bertaraf legenda menjadikan mereka sentiasa berada di dalam kelompok pilihan.
Namun reputasi semata-mata tidak menjamin apa-apa dalam kejohanan moden.
Maghribi telah menunjukkan kepada dunia organisasi permainan, disiplin dan keyakinan mampu merapatkan jurang dengan pasukan yang memiliki lebih banyak bintang.
Ramalan wartawan: Brazil 3 - 1 Maghribi
