USTAZAH MASNIA NASSIM
Pada 1 Februari 2025, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah telah berjaya menganjurkan festival bola sepak, ‘5-A-Side’, yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.
Acara itu merupakan kerjasama antara madrasah ini dengan kumpulan bekas pemain nasional dan beberapa individu yang banyak terlibat dalam kegiatan bola sepak di Singapura.
Antara yang turut serta ialah pemain mapan negara, Baihakki Khaizan, Hassan Sunny, Saswadimata Dasuki, Malek Awab, Abdul Malek dan beberapa bekas pemain lain.
Berkat pengalaman dan kepakaran mereka, acara sukan ini berjaya menarik penyertaan 39 pasukan yang bermain dalam pelbagai kategori Bawah 12 Tahun, Bawah 16 Tahun, kategori Terbuka dan Veteran.
Acara ini telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Sejak 7 pagi, peserta telah hadir di stadium tersebut bersama penyokong mereka sehingga acara selesai kira-kira 2.30 petang.
Acara ini merupakan rangka sokongan bagi Madrasah Wak Tanjong untuk mengumpul dana bagi pembangunan tambahan yang sedang rancak dibina.
Sekali gus, ia juga mampu menyemarakkan semangat kesukanan dalam masyarakat.
Sukan bola sepak memang dikenali sebagai sukan yang dapat menyatukan warga, daripada pelbagai latar belakang.
Festival itu jelas membuktikan bagaimana ia berjaya menyatukan ahli keluarga yang berminat dalam sukan ini, dan sempat bermain dalam waktu yang sama, tetapi dalam kategori berbeza.
Sebagaimana yang dinyatakan Pengarah Teknikal yang bertanggungjawab dalam atur acara bagi perlawanan itu, Encik Nor Azli Mohd, beliau dapat melihat bagaimana dalam sebuah keluarga, datuk bermain dalam kategori Veteran, bapa dalam kategori Terbuka dan anak-anak lebih kecil bermain dalam kategori lebih rendah.
Ia pemandangan yang jarang dapat dilihat tetapi berlaku dalam festival ini.
Madrasah Wak Tanjong mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang mengizinkan penggunaan Stadium Jalan Besar, kumpulan bekas pemain nasional yang telah sama-sama menganjurkan acara ini, para peserta dalam pelbagai kategori dan relawan yang membantu menjayakannya.
Tidak lupa, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja dan penderma yang turut menyumbang kepada acara ini. Semoga Allah swt memberkati rezeki dan memudahkan urusan kita semua.
Insya-Allah, jika diberi kesempatan, Madrasah Wak Tanjong akan menganjurkan acara sebegini pada masa akan datang.
Teruslah menyokong projek Nur Ala Nur 2.0, dan tidak secara langsung, anda juga menyokong pendidikan Islam di Singapura.
Penulis merupakan Mudirah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
SEKILAS
* Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow ke: UEN S55MM0002D, atau hantarkan cek atas nama ‘Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah’.
* Hubungi talian 6741-0131 atau e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut.
* Langsung ke pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di alamat 589 Sims Avenue, Singapura 387600.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg