Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Strategi madrasah: Pelajar fokus dalam pembelajaran, proaktif pada 2025

Dec 29, 2024 | 5:30 AM
Pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Fursanul Haq (kiri), murid darjah dua memenangi tempat kedua dan murid darjah tiga, Ahmad Husaini (kanan) pula  memenangi tempat keempat, bagi pertandingan Tilawah Quran yang dianjurkan Pertapis pada acara Salam Fest 2024 yang berlangsung pada November 2024 lalu.
Pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Fursanul Haq (kiri), murid darjah dua memenangi tempat kedua dan murid darjah tiga, Ahmad Husaini (kanan) pula memenangi tempat keempat, bagi pertandingan Tilawah Quran yang dianjurkan Pertapis pada acara Salam Fest 2024 yang berlangsung pada November 2024 lalu. - Foto MADRASAH WAK TANJONG AL-ISLAMIAH

Tahun baru 2025 bakal menjelang beberapa hari lagi. Selalunya, setiap datangnya tahun baru, kita akan menanam azam dan niat murni yang baru yang ingin dicapai. Hakikatnya, semua orang mahukan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Lazimnya, mereka inginkan menjadi lebih berdisiplin, lebih rajin, lebih bertanggungjawab, lebih menjaga masa, lebih berpenampilan, lebih mengamalkan hidup sihat dan sebagainya.

Ini tidak asing bagi kita umat Islam kerana antara prinsip hidup yang diajar oleh Rasulullah saw ialah hari ini harus lebih baik daripada kelmarin dan hari esok harus lebih baik daripada hari ini.

Tanamkan dalam diri dan minda kita agar kita berterusan dan beristiqamah untuk menjadi Muslim yang lebih berjaya dan cemerlang dunia dan akhirat.

Kepada pelajar pula, mereka sering dan perlu diingatkan supaya mencapai yang terbaik dan lebih beri perhatian dalam pembelajaran dan bersedia menghadapi peperiksaan yang akan dihadapi sepanjang tahun.

Sebagai ibu bapa dan juga guru itulah yang sering diingatkan kepada anak-anak kita. Kita perlu mendidik mereka terutama, yang akan menduduki ujian besar seperti Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ dan seterusnya.

Bagi pelajar madrasah pula, selain diperingatkan agar menunjukkan prestasi lebih baik dalam bidang akademik, mereka juga diingatkan supaya menjadi Muslim yang lebih bertakwa dalam mengamalkan perintah agama.

Kalau pada peringkat rendah, mereka hanya diperingatkan tentang perkara yang fardu dan wajib dan menjauhkan yang haram.

Pada peringkat menengah dan selanjutnya pula, mereka mula digalakkan agar melakukan lebih kebaikan dan menjalankan ibadah sunah serta meninggalkan perkara batil dan melalaikan, dan berusaha gigih untuk mengingat Allah swt dan rasul-Nya.

Seiring dengan peningkatan mata pelajaran agama Islam yang diajar seperti Tafsir, Hadis dan ilmu Al-Quran, pelajar madrasah sering diingatkan tentang peranan mereka sebagai duta Islam di mana juga mereka berada.

Pelajar ukhrawi ini perlu menunjukkan akhlak mulia, berkepemimpinan santun dan menjauhkan perbuatan yang boleh mencemarkan nama Islam.

Inilah yang diharapkan daripada pelajar madrasah sebagai pelapis pemimpin agama yang bakal menggantikan ulama dan guru agama yang ada sekarang.

Hakikatnya sekarang ini, kita melihat satu demi satu ulama Singapura telah meninggalkan kita, dan kita semakin ketandusan cendekiawan Islam dan orang alim.

Semoga madrasah sepenuh masa di Singapura dapat memenuhi kekosongan ini dengan terus melahirkan lebih ramai lagi pemimpin agama yang cemerlang pada masa hadapan. Justeru, ia dapat memberikan bimbingan agama yang sebaiknya kepada masyarakat Islam di sini.

Teruslah menyokong madrasah kita demi merealisasikan tujuan murni ini, dan melahirkan lagi generasi muda Islam yang gemilang dan menjadi harapan nusa dan bangsa.

Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg