Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pemain kebangsaan ‘turun padang’ bantu Madrasah Wak Tanjong kumpul dana

Anjur bersama, urus festival bola sepak cari dana projek bangunan tambahan madrasah
Dec 11, 2024 | 6:47 PM
Bekas pemain midfield Singapura pada era 1990-an, yang juga pengerusi festival bola sepak, Saswadimata Dasuki (dua dari kiri) dan rakan-rakannya yang akan turut membantu, Zulkarnaen Zainal (kiri) dan Dalis Supait (dua dari kanan), bersama Mudirah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Ustazah Masnia Nassim (kanan).
Bekas pemain midfield Singapura pada era 1990-an, yang juga pengerusi festival bola sepak, Saswadimata Dasuki (dua dari kiri) dan rakan-rakannya yang akan turut membantu, Zulkarnaen Zainal (kiri) dan Dalis Supait (dua dari kanan), bersama Mudirah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Ustazah Masnia Nassim (kanan). - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan beberapa bekas pemain kebangsaan Singapura akan bergabung tenaga bagi menganjurkan festival bola sepak untuk mengumpul dana bagi pembinaan prasarana baru madrasah itu.

Festival bola sepak lima sepasukan itu, dengan tiga pemain simpanan, akan diadakan di Stadium Jalan Besar pada 1 Februari 2025.

Ia akan mempunyai empat kategori pasukan: Bawah 12 Tahun, Bawah 16 Tahun, 48 Tahun dan ke atas, serta Bebas.

Yuran pendaftaran ialah $500 bagi setiap pasukan. Festival bola sepak itu disokong oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Semasa festival itu, reruai bagi makanan dan minuman akan disediakan.

Ini diumumkan oleh mudirah (pengetua) Madrasah Wak Tanjong, Ustazah Masnia Nassim, dan pengerusi festival bola sepak itu, bekas pemain midfield Singapura pada era 1990-an, Saswadimata Dasuki, dalam satu sidang media pada 10 Oktober.

Festival itu sebahagian daripada Kempen Nur Ala Nur 2.0 Madrasah Wak Tanjong untuk mengumpul dana bagi pembinaan sebuah bangunan tambahan di madrasah di Paya Lebar itu.

Bangunan tambahan itu akan mempunyai enam bilik darjah dan ruangan pelbagai guna bagi pelajar berkumpul dan beriadah.

Menurut Ustazah Masnia, madrasah itu berharap dapat mengumpulkan $200,000 menerusi festival bola sepak itu.

Madrasah Wak Tanjong adalah madrasah sepenuh masa terakhir di Singapura yang mempunyai dua sesi pembelajaran, iaitu pagi dan petang.

Namun, ia akan beroperasi hanya satu sesi mulai 2025.

“Bangunan tambahan yang akan dibina itu akan membantu madrasah ini dari segi pentadbiran dan prasarana untuk menampung satu sesi pembelajaran,” ujar Ustazah Masnia.

Beliau menambah bahawa festival bola sepak adalah antara pendekatan baru bagi madrasah itu mengumpul dana, berbanding kaedah tradisional seperti jualan amal dan derma melalui tabung di masjid seluruh Singapura

Pihak Madrasah Wak Tanjong dan bekas pemain kebangsaan di tapak pembinaan tempat bangunan tambahan itu akan dibina.
Pihak Madrasah Wak Tanjong dan bekas pemain kebangsaan di tapak pembinaan tempat bangunan tambahan itu akan dibina. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Saswadimata berkata: “Saya harap melalui festival ini, kami dapat beramal dan menyumbang kepada Madrasah Wak Tanjong melalui tenaga dan buah fikiran kami semua.”

Bekas pemain kebangsaan lain yang akan ikut turun padang menjayakan festival itu ialah Abdul Malek Mohammad, Samad Allapitchay dan Malek Awab.

Kapten pasukan Singa, Hariss Harun, juga akan membantu menjayakan festival tersebut.

Mereka menyumbang tenaga serta menguruskan perjalanan festival itu.

Saswadimata juga berharap festival itu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sokongan dana yang diperlukan oleh Madrasah Wak Tanjong dan akan tampil menyumbang.

Beliau turut berharap bakat muda bola sepak akan dikenal pasti melalui festival itu.

Mereka yang berminat menyertai festival bola sepak itu boleh mendaftar di pautan https://bh.sg/gWCL

Madrasah Wak Tanjong mengalu-alukan sumbangan dana bagi projek bangunan tambahan melalui laman web mereka, https://mwti.edu.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg