Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Festival buku kanak-kanak iktiraf pengilustrasi perintis, rai generasi baru pelukis komik

Kegiatan termasuk bengkel interaktif, sesi perbincangan
Jul 7, 2025 | 5:30 AM
Encik Idris Ali,Festival Buku Kanak-Kanak Singapura 2025
Pengilustrasi perintis di Singapura, Encik Idris Mohamed Ali, 81 tahun (kiri), bersama beberapa pengunjung Festival Buku Kanak-Kanak Singapura 2025, berkongsi tentang beberapa buku yang dilukisnya beberapa dekad lalu. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bermula hanya dengan meniru lukisan komik pada usia 10 tahun, seniman veteran, Encik Idris Mohamed Ali, 81 tahun, menjadi antara tokoh dalam dunia ilustrasi tempatan, khususnya bagi medium cat air.

Bagi Encik Idris, cintanya terhadap seni tidak pernah pudar sejak remaja, meskipun laluan yang ditempuhi penuh cabaran dan tanpa pendidikan formal dalam bidang seni.

“Saya mula dengan melukis gambar komik. Saya tiru dan lukis semula.

“Minat saya memang dari kecil, tetapi orang kampung masa itu tidak ambil kisah sangat tentang seni,” singkapnya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Encik Idris mula mendalami ilmu seni secara lebih serius pada usia 12 tahun apabila mengikuti kelas lukisan di balai rakyat sekitar 1959.

Perjalanan seninya turut diperkaya apabila beliau diterima bekerja di beberapa syarikat pengiklanan, termasuk sebuah firma antarabangsa Britain, tempat beliau berkhidmat selama 15 tahun.

Di situlah beliau mendalami pelbagai bentuk media visual seperti rekaan iklan, poster dan ilustrasi untuk televisyen serta akhbar.

Selain menjadi pelukis, Encik Idris turut aktif mengajar seni kepada pelajar sekolah menengah dan guru seni melalui kelas anjuran badan seni, Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) selama 40 tahun.

Menurut Encik Idris, cat air bukan hanya mencabar tetapi memerlukan disiplin tinggi di mana kesilapan tidak boleh diperbaiki dan harus dimulakan semula.

Walaupun teknologi kini memudahkan seni, Encik Idris tetap setia pada kaedah tradisional.

“Saya masih guna kertas dan cat air… pelajar sekarang tekan butang saja, tapi saya percaya hasil tangan lebih asli dan alami,” ujarnya.

Proses menghasilkan satu buku ilustrasi boleh mengambil masa sehingga tiga bulan kerana semuanya dilukis dengan tangan.

Pengilustrasi perintis itu dijadual menyertai pameran sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), anjuran Maya Gallery.

Ia bagi memaparkan lukisan terkini beliau yang bersifat sebahagian abstrak dan menggunakan teknik warna bertindih.

Buku-buku yang pernah diilustrasikan Encik Idris sejak zaman 1970-an pula dipamerkan di Festival Buku Kanak-Kanak Singapura 2025 (SCBF), anjuran Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA) pada 20 Jun. 

SCBF kembali untuk tahun kedua dari 20 hingga 22 Jun 2025 di Kampus 2, Nafa, dengan pelbagai kegiatan menarik termasuk bengkel interaktif, sesi perbincangan panel, pelancaran dua buku baru, serta pengalaman kreatif yang menyeronokkan untuk kanak-kanak dan keluarga.

Diadakan sempena sambutan SG60, edisi tahun ini memberi penghormatan kepada Encik Idris dan mendiang Kwan Shan Mei, sambil meraikan generasi baru pencerita dan pelukis ilustrasi tempatan.

Turut hadir bersama Encik Idris ialah Encik Muhammad Rosman Senin, 45 tahun, yang mesra dengan nama Ross Monday, seorang pelukis ilustrasi dan komik tempatan.


Encik Rossman Senin, 45 tahun, berkongsi tentang komik cereka sains, ‘Cincin Bima Sakti’, yang memuatkan ilustrasinya.
Encik Rossman Senin, 45 tahun, berkongsi tentang komik cereka sains, ‘Cincin Bima Sakti’, yang memuatkan ilustrasinya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ditanya mengenai proses kreatifnya, Encik Rosman menjelaskan bahawa setiap projek bermula dengan memahami jalan cerita dan membentuk profil watak.

“Biasanya penulis akan beri penerangan ringkas, kemudian saya hasilkan beberapa reka bentuk watak untuk dipilih,” katanya.

Kerjasama rapat dengan penulis adalah aspek penting dalam memastikan visi bersama dapat direalisasikan.

“Hubungan kami simbiotik – saya bantu keluarkan visual dari fikirannya, dan beliau bantu saya fahami konteks yang ingin disampaikan,” jelas Encik Rosman.

Beliau turut berkongsi tentang siri komik cereka sains, Cincin Bima Sakti, yang kini masuk edisi kedua.

“Cabaran utamanya ialah bagaimana saya membayangkan gambaran perkembangan watak dan dunia mereka, mengikut perubahan zaman dan pembaca,” katanya.

Kini, Encik Rosman terlibat dalam projek buku bergambar bertajuk, Maafkan Saya, khas untuk kanak-kanak prasekolah.

Buku tersebut mengandungi pesanan moral yang mendalam – tentang pentingnya memohon maaf apabila melakukan kesalahan.

“Lebih daripada sekadar cerita, mesejnya penting. Ia mengajar anak-anak tentang nilai murni meminta maaf, yang perlu diamalkan sejak usia kecil,” jelasnya.

Selain itu, acara itu turut menampilkan dua pelajar jurusan rekaan ilustrasi dari Nafa, Cik Elly Sabrina Arun, 22 tahun, dan Cik Leow Jiayee, 21 tahun.

Mereka bekerjasama menghasilkan buku kanak-kanak bertajuk, Nasi Lemak Emak, bahkan memenangi Hadiah Ilustrasi Kanak-Kanak Singapura pada 2025.

Projek itu adalah tugasan penggal pengajian selama tiga hingga empat bulan dan hanya terbuka kepada pelajar ilustrasi Nafa.

Latar kampung dipilih agar pembaca berasa kehangatan dan nostalgia yang diseiringkan dengan warna lembut yang menyuntik ketenangan jiwa.

Pelajar Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Cik Leow Jiayee (kiri) dan Cik Elly Sabrina Arun (dua dari kiri), bersama penyunting buku ‘Nasi Lemak Emak’, Cik Nur-El-Hudaa Jaafar di Festival Buku Kanak-Kanak di Nafa.
Pelajar Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Cik Leow Jiayee (kiri) dan Cik Elly Sabrina Arun (dua dari kiri), bersama penyunting buku ‘Nasi Lemak Emak’, Cik Nur-El-Hudaa Jaafar di Festival Buku Kanak-Kanak di Nafa. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam kisah itu, mereka menyisipkan kisah sampingan tentang seekor kucing dan burung yang bermain-main dengan senarai bahan nasi lemak yang perlu Hana beli.

Sebiji telur ‘Easter’ pula tersembunyi, lantas menambah unsur comel untuk bacaan kanak-kanak, hingga ia mendapat pujian daripada penyunting, Cik Nur-El-Hudaa Jaafar, 55 tahun.

Bagi memperkaya lagi gaya visual, pelajar itu meluangkan masa di Perpustakaan Negara, meneliti karya buku kanak-kanak yang memaparkan lukisan krayon dan sketsa – satu penghormatan kepada memori zaman kanak-kanak ketika mereka terpukau dengan butiran kecil dalam setiap ilustrasi.

Pameran pelajar ilustrasi buku kanak-kanak diadakan setiap hari hingga 6 Julai, dari 12 tengah hari hingga 7 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg