Festival Muslim Jamiyah sasar lebih 70,000 pengunjung
Lebih 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Muslim Singapura (SMF) 2026, yang diadakan buat kali kelima oleh Jamiyah Singapura dari 13 hingga 15 Februari di Singapore Expo Hall 6.
Bertemakan ‘Haji & Umrah: Siapkan Hati, Minda & Jiwa Anda’, festival tiga hari ini menjemput orang ramai untuk menyelami keindahan dan kekayaan warisan serta budaya Islam melalui pelbagai pengalaman.
Festival ini dirasmikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, selaku tetamu kehormat.
Beliau sempat meninjau pameran imersif Kaabah, termasuk merasai pengalaman video imersif yang memaparkan sejarah Kaabah – dari pembinaannya oleh Nabi Ibrahim hingga menjadi sebahagian dari Masjidil Haram hari ini.
Dengan lebih 150 reruai, festival ini menawarkan pilihan makanan halal, fesyen dan barangan gaya hidup, selain pameran berunsur pendidikan, aktiviti keluarga serta pengalaman realiti maya mengenai warisan Islam.
Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata festival tersebut mencerminkan semangat keharmonian Singapura dengan mengalu-alukan masyarakat pelbagai latar belakang untuk mengenali Islam serta memperkukuh persefahaman antara masyarakat.
“Berakar pada Islam dan warisan kita, namun terbuka serta mengalu-alukan semua, ia mengajak rakan daripada pelbagai agama dan latar belakang untuk belajar dan saling berinteraksi.
“Keyakinan untuk meraikan jati diri kita sambil merangkul kepelbagaian inilah yang menjadikan Singapura istimewa,” ujar beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
Untuk keterangan lanjut mengenai aktiviti dan rancangan yang telah disusun, sila lungsuri laman singaporemuslimfestival.sg.

