Festival Muslim S’pura Jamiyah kembali dengan acara baru, pengalaman menarik
Festival Muslim S’pura Jamiyah kembali dengan acara baru, pengalaman menarik
Peluang dalami haji dan umrah, belajar sejarah Makkah dan Madinah, buat persiapan Ramadan dan Raya melalui pelbagai acara, 150 gerai makanan, pakaian dan keperluan semasa
Acara Festival Muslim Singapura 2026 (SMF) kembali bagi edisi kelima selama tiga hari, dari 13 hingga 15 Februari.
Bertempat di Dewan 6, Singapore Expo, bersebelahan stesen MRT Expo di Laluan Timur-Barat (EWL), SMF 2026 anjuran Jamiyah Singapura itu menawarkan kedua-duanya, kelainan dan keistimewaan.
Bertemakan ‘Haji & Umrah: Persiap Hati, Minda dan Jiwa’, ia mengetengahkan pelbagai artifak berharga, zon interaktif dan acara pentas yang mengisi kedua-duanya, rohani dan halwa telinga.
Setiausaha Agung Jamiyah, Encik Muhammad Khair Baharin, berkata kemasukan ke SMF 2026 adalah percuma dan 70,000 orang dijangka menghadiri acara tiga hari itu.
Mengenai kelainan yang ditawarkan kepada pengunjung bagi edisi kali ini, beliau berkata inovasi teknologi menawarkan orang ramai peluang melihat secara dekat pelaksanaan ibadah haji dan umrah menerusi kemudahan digitalisasi seperti ruang imersif, metaverse dan realiti maya yang diadakan.
“Kami di Jamiyah mengajak pengunjung melihat ibadah haji dan umrah bukan sekadar satu perjalanan jasmani atau persediaan logistik, tetapi sebagai satu proses penyucian jiwa, pemantapan minda dan kesiapsiagaan rohani.
“Bagi ramai Muslim, menunaikan ibadah di Tanah Suci adalah impian seumur hidup. Namun, persediaan sebenar bermula jauh sebelum kaki melangkah – melalui kefahaman agama, cerminan diri dan pengertian hidup. Inilah inti pati yang ingin diketengahkan oleh SMF 2026,” ujar Encik Khair.
Salah satu tarikan utama festival kali ini ialah ‘kewujudan’ Kaabah menerusi pencahayaan LED, yang bertujuan menjadi dorongan dan mendekatkan hati pengunjung untuk ke Tanah Suci, jika berkemampuan.
SMF 2026 turut menawarkan peluang buat orang ramai berbelanja sempena ketibaan Ramadan dan meraikan Syawal, dengan lebih 150 gerai makanan, pakaian dan keperluan semasa.
Mereka yang ingin menambah ilmu boleh segera mendaftar untuk mengikuti pelbagai kursus dan klinik pendidikan serta program pengajian Islam yang disediakan Jamiyah Academy.
Pengunjung juga boleh meneroka Immersive Experience, iaitu pengalaman memasuki gua bersifat imersif, atau keadaan separa nyata, dari lantai ke tembok dan siling serta pembelajaran gamifikasi melalui Zon Interaktif, menjadikan proses menimba ilmu lebih menyeronokkan. Ia sesuai buat semua peringkat usia.
Pameran Sirah menampilkan 16 artifak berkaitan Makkah dan Madinah, termasuk Kunci Kaabah dari era Empayar Uthmaniyah yang merupakan kunci tulen yang digunakan semasa pemerintahan Empayar Turkeye Uthmaniyah (1056H hingga 1245H); replika Pintu Kaabah yang diperbuat daripada tembaga oleh kilang yang membuat Pintu Kaabah asli di Arab Saudi; replika tempat letak batu Hajarul Aswad, batu yang terletak di sudut Kaabah dan dipercayai diturunkan dari Syurga, dan banyak lagi.
Keistimewaan SMF 2026 terletak pada senarai atur caranya, dengan orang ramai antara lain berpeluang mengikuti ceramah dan mendengar bacaan Al-Quran oleh Shaykh Saad Tasleem dari Amerika Syarikat, Ustaz Elyas Ismail dan Ustaz Jalal Zaiki, kedua-duanya dari Malaysia, dan Ustaz Agus Idwar dari Indonesia.
Bagi mereka yang gemar lagu dakwah, jangan ketinggalan menyaksikan ‘Konsert Gegar Nasyid’ pada 14 Februari. Selama dua jam tanpa henti, hadirin berpeluang menikmati dendangan syahdu oleh kumpulan undangan dari dalam dan luar negara.
Naib Presiden III Jamiyah, Encik Siraj Salman, berkata Jamiyah sangat bersyukur akan sokongan padu yang diberikan oleh institusi korporat, syarikat kecil dan sederhana serta usahawan dari dalam dan luar negara kepada persatuan itu.
“SMF 2026 bukan sekadar sebuah festival, bahkan wadah yang menyatukan hati dan minda. Ia mencerminkan aspirasi Jamiyah Singapura untuk terus menjadi peneraju dalam memperkasa masyarakat melalui pendekatan inklusif, relevan dan berteraskan nilai-nilai Islam sejagat,” ujar beliau.
Menurut beliau, kemudahan disediakan di festival itu untuk orang ramai menderma dan melunaskan zakat melalui Jamiyah.
Selain pameran dan pengalaman rohani, SMF 2026 menawarkan peluang istimewa kepada pengunjung melalui hadiah menarik. Pengunjung pada mana-mana hari festival itu yang menyertai satu tinjauan berpeluang memenangi pakej umrah tajaan Usrah Travel, tiket penerbangan ke Jeddah tajaan syarikat penerbangan Saudia, serta pelbagai hadiah menarik lain.
Dengan gabungan unsur kerohanian, ruang pendidikan, kemudahan teknologi dan acara masyarakat, pengunjung dijanjikan tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Orang Islam dan orang ramai daripada pelbagai latar belakang dijemput hadir bersama keluarga dan rakan untuk merasai sendiri keistimewaan dan keunikan SMF 2026.
Acara ini turut mengalu-alukan penyertaan pengunjung bukan Islam yang ingin mengenali Islam dengan lebih mendalam dan mempelajari nilai-nilai kehidupan Islam yang membawa kepada kesejahteraan hati, minda dan jiwa.
MAKLUMAT LANJUT
Untuk maklumat lanjut, lungsuri laman https://www.jamiyah.org.sg/

