Selami ibadah haji secara maya antara tarikan festival Jamiyah
Selami ibadah haji secara maya antara tarikan festival Jamiyah
Penceritaan Al-Quran melalui realiti maya (VR) dan pengalaman simulasi ibadah haji bakal menjadi antara tumpuan utama di edisi kelima Festival Muslim Singapura (SMF) 2026 yang dianjurkan Jamiyah Singapura.
Dalam kenyataan medianya, Jamiyah Singapura berkata SMF kali ini bertujuan menggabungkan sejarah dan warisan Islam selama 1,400 tahun bersama inovasi digital serta kecanggihan teknologi abad ke-21.
Festival selama tiga hari bermula dari 13 Februari itu bertemakan ‘Haji & Umrah: Siapkan Hati, Minda & Jiwa Anda’, dan menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menyelami pelbagai pengalaman yang meraikan keindahan serta kekayaan Islam dan budayanya.
Pengunjung berpeluang melangkah ke persekitaran imersif sepenuhnya, termasuk menerusi paparan imersif yang bertajuk “Kaabah – Rumah Kuno” (Ancient House), menggunakan kanvas digital 360 darjah untuk membawa pengunjung merentas masa.
Menurut Jamiyah, dari saat asas Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim as hinggalah ke kemegahan Masjidil Haram hari ini, pengalaman tersebut bertujuan mewujudkan satu perasaan “hadir” secara rohani yang mendalam.
“Dengan memanfaatkan penceritaan digital yang canggih, festival ini memastikan warisan Islam bukan sekadar ditatap, malah dihayati - menjadikan perjalanan penuh berkat ini lebih dekat dan menarik bagi generasi muda,” menurut kenyataan media itu.
Selain itu platform JAM+, kolaborasi antara Belia Jamiyah Singapura dan TAKVA, melancarkan JAM+Quest: Edisi Haji, sebuah pengembaraan digital dan fizikal untuk semua peringkat umur.
Melalui aplikasi “The Seekers Path” dan aktiviti “Pilgrim’s Path”, peserta dapat mendalami rukun haji sambil berpeluang memenangi pelbagai ganjaran serta cenderamata eksklusif.
Di JAM+Cafe, permainan papan inklusif yang meraikan kepelbagaian keupayaan, dengan penglibatan sukarelawan Jamiyah, belia penerima manfaat dan pelajar berkeperluan khas.
Manakala JAM+Play pula merupakan zon kanak-kanak dengan pameran Kaabah ‘mini’ dan kawasan permainan menggambarkan langkah-langkah Haji, aktiviti Montessori Islamik, permainan digital dan pengekodan interaktif, serta bilik tayangan Team Noon Movie Series yang menyampaikan kisah animasi tentang keajaiban Al-Quran.
Pameran Seerah Antarabangsa turut menjemput pengunjung untuk menyelami kehidupan dan legasi Rasulullah saw melalui koleksi artifak yang amat berharga.
Persembahan kumpulan nasyid Al Jawaher, Al Mizan (Singapura), Raihan (Malaysia) dan Snada (Indonesia) juga bakal disajikan pada 14 Februari dari 8 malam.
Lebih 150 reruai mengisi ruang Expo Hall 6 menawarkan makanan halal, fesyen, barangan gaya hidup serta perkhidmatan pelancongan.
Festival ini akan berlangsung di Singapore Expo dari 13 hingga 15 Februari dengan kemasukan percuma untuk semua pengunjung. Untuk keterangan lanjut mengenai aktiviti dan rancangan yang telah disusun, sila lungsuri laman singaporemuslimfestival.sg

