‘Mobile Amil’ Jamiyah permudah bayar zakat, yang diagih kepada kesemua 8 asnaf
‘Mobile Amil’ Jamiyah permudah bayar zakat, yang diagih kepada kesemua 8 asnaf
Hubungi talian Jamiyah dan amil akan datang ke rumah, pejabat, atau tempat pilihan lain bagi pembayar zakat tunai kewajipan, termasuk hitung jumlahnya
Masyarakat Islam Singapura mempunyai cara lebih mudah dan selesa untuk menunaikan zakat.
Menerusi kaedah, ‘Mobile Amil’ Jamiyah Singapura, mereka hanya perlu menghubungi talian Jamiyah dan seorang amil akan diatur untuk pergi ke rumah, pejabat, atau tempat pilihan lain pembayar zakat bagi mereka menunaikan kewajipan itu.
Seorang kakitangan Jamiyah berkata: “Picit (Hubungi) saja, amil sampai!”
Setiausaha Agung Jamiyah, Encik Muhammad Khair Baharin, berkata:
“Dengan ‘Mobile Amil’, amil Jamiyah akan ke tempat penyumbang zakat bagi mereka menunaikan kewajipan mereka. Muzakki (orang wajib membayar zakat) hanya perlu menanti di lokasi yang dijanjikan, dan ‘Mobile Amil’ Jamiyah akan tiba seperti dipersetujui.”
Cara ini meringankan beban muzakki yang sibuk. Amil yang berkunjung juga sedia menjawab soalan dan memberi panduan perkiraan zakat, ujar beliau.
Di Jamiyah, Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan perkhidmatan kebajikan badan itu dan memastikan amanah pengagihan zakat dilaksana secara telus, memberi kesan mendalam kepada masyarakat memerlukan.
“Ramadan bulan keinsafan, keprihatinan, dan perkongsian rezeki. Melalui program sosial dan bantuan kemanusiaan, Jamiyah teguh beriltizam membantu golongan memerlukan sokongan kewangan, makanan, pendidikan, dan pemulihan,” ujar Encik Khair.
Jamiyah mengagihkan zakat mengikut syarak, meliputi lapan asnaf, atau golongan berhak menerima zakat, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah, dan Ibnu sabil.
“Dana zakat diagih bagi memenuhi keperluan asas, pemulihan, pendidikan, dan kebajikan mereka, terutamanya sepanjang Ramadan.
Ia menyokong operasi dan kebajikan penghuni institusi Jamiyah seperti Darul Syifaa (Pusat Rawatan Warga Tua) serta Darul Takrim (Rumah Tumpangan Warga Tua), yang menyediakan penjagaan kesihatan, tempat tinggal, makanan, dan keperluan harian warga emas, dan Darul Islah (Pusat Pemulihan Jamiyah), yang membantu pemulihan, latihan kemahiran, sokongan sara hidup, dan penyepaduan semula bekas pesalah dadah dalam pemulihan menyertai masyarakat.
Selain itu, Jamiyah menjalankan Foodbank dan pusat JamPacked di Bukit Batok, West Coast, dan Radin Mas, yang membantu keluarga berpendapatan rendah dengan bekalan makanan dan barangan asas, meringankan beban sara hidup di bulan mulia ini.
Zakat turut diagih bagi program pendidikan pelajar kurang berkemampuan, sokongan khusus bagi mualaf, dan pelbagai inisiatif kebajikan lain, seperti iftar, sahur, pengagihan daging ‘Meat for Eid’, dan bantuan kecemasan.
“Zakat adalah satu kewajipan yang juga menjadi jambatan kasih sayang yang menghubungkan golongan berkemampuan dengan golongan yang sedang diuji dalam kehidupan mereka.
“Setiap wang zakat, walau sedolar, disumbangkan melalui Jamiyah membawa sinar harapan, peluang mengenyangkan yang lapar, merawat yang uzur, membimbing yang tersasar, dan mengangkat maruah keluarga terhimpit,” kata Encik Khair.
Justeru, Jamiyah menyeru anggota masyarakat Muslim supaya memanfaatkan bulan suci Ramadan untuk meraih keberkatannya sepenuhnya.
“Inilah waktu terbaik untuk menggandakan amal dan berkongsi rezeki demi kesejahteraan ummah. Jangan biarkan peluang berbuat kebaikan ini berlalu begitu sahaja,” seru Encik Khair.
Sepanjang 2025, Jamiyah mengagih bantuan makanan kering kepada sekitar 31,200 individu dan menyediakan hidangan panas kepada kira-kira 102,200 orang daripada keluarga dan warga emas memerlukan.
“Kami mohon jasa baik Muslim Singapura melunaskan zakat melalui Jamiyah agar kami dapat membantu masyarakat kurang bernasib baik.
“‘Mobile Amil’ menjimatkan masa dan memberi keselesaan kepada muzakki, namun kami juga mengalu-alukan anda datang ke ibu pejabat Jamiyah.
“Khidmat ‘Mobile Amil’ amat membantu, terutamanya bagi warga emas, individu sibuk, dan keluarga yang mahu menunaikan zakat secara mudah dan selamat tanpa perlu keluar rumah,” tambah Encik Khair.
TUNAI ZAKAT MELALUI JAMIYAH SINGAPURA:
Mereka yang ingin menunaikan zakat boleh menghubungi talian 9720-5001 atau datang ke Pusat Islam Jamiyah (ibu pejabat), di 31 Lorong 12 Geylang, Singapura 399006 atau ke pusat-pusat Jamiyah di serata Singapura.
Lungsuri laman web, https://www.jamiyah.org.sg/ untuk perincian lanjut.

