Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Festival Pembelajaran Ma’arif 2025 meriah dengan semangat ilmu dan budaya

Hasil sumbangan festival biayai penyelenggaraan bangunan madrasah dan parkir berbumbung
Sep 26, 2025 | 5:30 AM
Festival Pembelajaran Ma’arif 2025, madrasah al-maarif, pembangunan, dana
Festival Pembelajaran Ma’arif 2025 bukan sekadar pameran, malah suatu pengalaman menyeluruh yang dimeriahkan hampir 20 vendor makanan, minuman dan barangan, selain menawarkan pelbagai pilihan menarik kepada pengunjung. - Foto MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH

Festival Pembelajaran Ma’arif 2025 yang berlangsung pada 19 September di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah melabuhkan tirai dengan kejayaan membanggakan.

Acara tahunan ini berjaya menarik lebih 500 pengunjung untuk meraikan semangat ilmu, sekali gus menjadikan suasana majlis meriah dengan sokongan hangat daripada masyarakat setempat.

Meskipun ruang agak terhad, keterujaan hadirin jelas terserlah apabila mereka tetap memenuhi kawasan majlis, menzahirkan komitmen dan minat yang tinggi terhadap program berteraskan ilmu ini.

Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Cik Siti Radhiyah Rahmat, bangunan lapan tingkat madrasah dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang festival, dengan setiap aras dipenuhi kegiatan yang membolehkan pengunjung meninjau bilik darjah dan merasai suasana pembelajaran secara dekat.

“Acara ini bukan sekadar pameran, bahkan pengalaman menyeluruh yang turut dimeriahkan oleh hampir 20 vendor makanan, minuman dan barangan, menawarkan pelbagai pilihan kepada pengunjung. Festival ini juga mengetengahkan pameran silibus dan kurikulum madrasah, daripada peringkat rendah hingga prauniversiti,’’ ujarnya.

Antara tarikan utama ialah bengkel interaktif dan siri syarahan ilmiah yang dirangka khas untuk masyarakat umum. Pelajar madrasah turut menampilkan bakat melalui persembahan silat, muzik angklung serta persembahan seni lain yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Kejayaan penganjuran festival ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama erat daripada Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (PSG) dan Alumni madrasah. Mereka memainkan peranan besar dari segi sokongan tenaga, idea dan sumber bagi memastikan kelancaran program, di samping memberi semangat kepada warga madrasah agar terus berusaha.

Menurut Cik Siti Radhiyah, penganjuran festival ini mempunyai tujuan yang lebih mendalam daripada sekadar memeriahkan suasana.

“Kami amat bersyukur atas kehadiran dan sokongan padu daripada masyarakat. Kehadiran lebih 500 pengunjung jelas membuktikan bahawa orang ramai prihatin terhadap kelangsungan pendidikan madrasah. Festival ini bukan sahaja memperkenalkan silibus dan budaya madrasah, malah menghubungkan ibu bapa, alumni dan masyarakat umum dalam menyokong misi pendidikan Islam.

“Hasil sumbangan yang diperoleh akan digunakan sepenuhnya bagi penyelenggaraan dan pembaikan bangunan, termasuk pembinaan parkir berbumbung yang dirancang pada hujung tahun ini. Insya-Allah, semoga segala sumbangan menjadi amal jariah yang berkekalan,” kata Cik Siti Radhiyah.

Pihak madrasah turut merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung, vendor, ibu bapa, PSG serta Alumni yang bersama-sama menjayakan festival ini.

Cik Siti Radhiyah turut menjelaskan, dengan sokongan berterusan masyarakat, Madrasah Al-Ma’arif berhasrat akan terus kekal relevan sebagai institusi pendidikan Islam yang akan melahirkan generasi berilmu, insan berakhlak mulia serta berdaya saing demi masa depan.

SEKILAS:

Sumbangan boleh dilakukan seperti berikut:

1. PayNow ke UEN: S36MM0001G.

2. Perbankan Internet: OCBC 507018232001.

3. Pungutan dari rumah (minimum $100): WhatsApp ke talian 9182-4766 dengan menyertakan nama, alamat dan jumlah sumbangan.

4. Hadir di pejabat madrasah: Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi hingga 4 petang).

5. Cek atas nama Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan poskan ke alamat No. 3 Lorong 39 Geylang, Singapura 387865.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg