Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fiesta kesihatan Sembawang galak penduduk ‘keluarkan peluh’

Sekitar 1,000 orang sertai Fiesta Kesihatan GRC Sembawang 2024 di Bukit Canberra
Oct 13, 2024 | 6:40 PM
Cik Mariam (dua dari kiri) sertai penduduk termasuk Cik Idayu Remie (paling kiri) dalam sesi zumba di Bukit Canberra sempena Fiesta Kesihatan GRC Sembawang 2024 pada 13 Oktober 2024. Turut bersama mereka ialah bekas pemain bola sepak negara Shaiful Esah, Hassan Sunny dan Nazri Nasir.
Cik Mariam (dua dari kiri) sertai penduduk termasuk Cik Idayu Remie (paling kiri) dalam sesi zumba di Bukit Canberra sempena Fiesta Kesihatan GRC Sembawang 2024 pada 13 Oktober 2024. Turut bersama mereka ialah bekas pemain bola sepak negara Shaiful Esah, Hassan Sunny dan Nazri Nasir. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dari Isnin hingga Jumaat, Cik Idayu Remie bertugas waktu pejabat dan menghabiskan banyak masa duduk hingga jarang ada waktu untuk bersenam.

Oleh itu, penolong pentadbir berusia 46 tahun itu giat melakukan senaman zumba untuk mengeluarkan peluh sambil kurangkan tekanan pada hujung minggu.

“Dari 8.30 pagi sampai 5.30 petang, antara tugas harian saya termasuk berhubung dengan klien dan menangani aduan mereka.

“Jadi, saya akan memperuntuk masa pada hujung minggu untuk melakukan senaman,” ujarnya.

Penduduk Sembawang itu adalah antara 1,000 peserta yang mengambil bahagian dalam Fiesta Kesihatan GRC Sembawang 2024 di Bukit Canberra pada 13 Oktober.

Acara anjuran bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC Sembawang dan M³@Woodlands itu turut dihadiri penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Sembawang termasuk Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung serta Cik Mariam Jaafar, Dr Lim Wee Kiak, Encik Vikram Nair dan Cik Poh Li San.

Penduduk di GRC Sembawang juga berpeluang mendapatkan pemeriksaan percuma di acara itu selain menimba ilmu daripada lebih 30 rakan kerja masyarakat termasuk agensi perkhidmatan sosial seperti Club Heal, Persatuan Perubatan Warisan Melayu (PPWM) dan Diabetes Singapore.

Bercakap kepada media di acara tersebut, Cik Mariam berkata:

“Acara ini dapat memupuk pemahaman yang lebih menyeluruh tentang kesihatan dalam masyarakat, supaya penduduk dapat menangani kesejahteraan mereka secara aktif dan mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan penyakit sebelum ia timbul.”

Sebelum tiba di Bukit Canberra, Cik Idayu bersama lebih 100 peserta lain telah mengambil bahagian dalam kegiatan berjalan kaki anjuran kumpulan Woodlands Jalan Kaki.

Bermula di Masjid Assyafaah sekitar 8.30 pagi, mereka berjalan ke Bukit Canberra dengan disertai oleh bekas pemain bola sepak negara iaitu Nazri Nasir, Shaiful Esah dan penjaga gawang veteran Singapura, Hassan Sunny.

Mengulas tentang penglibatannya dalam kegiatan zumba, Cik Idayu berkata beliau mula terlibat dengan senaman itu pada 2019 apabila terdengar muzik dari bawah blok dan ingin tahu sumber bunyi tersebut.

“Ibu saya beritahu bahawa ada sesi zumba di bawah blok kami. Apabila saya turun ke bawah, saya lihat ada beberapa wanita sedang melakukan kegiatan zumba dan saya rasa seronok menyaksikan mereka bersenam.

“Mereka mempelawa saya untuk sertai mereka,” katanya.

Sejak Ogos 2023, beliau mengikuti sesi Zumba A-Go-Go di Woodlands Sports Pavillion setiap Sabtu pagi.

Tambahnya, beliau juga bersyukur atas sokongan suaminya, Encik Raymie Abdul Rahim, yang meluangkan masa bersenam dengannya juga.

“Suami saya tak minat zumba, jadi saya ajak beliau bersenam seperti berjalan pantas ke Pantai Sembawang pada hujung minggu... cuma nanti, suami selalunya saran kami pulang ke rumah dengan menaiki bas,” ujarnya, berseloroh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg