Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirefly lanjut pembatalan penerbangan Seletar-Subang hingga 14 Okt akibat jerebu
Firefly lanjut pembatalan penerbangan Seletar-Subang hingga 14 Okt akibat jerebu
Syarikat penerbangan Malaysia, Firefly, sekali lagi melanjutkan pembatalan penerbangan laluan Subang-Seletar, kali ini hingga 14 Oktober.
Firefly sebelum ini membatalkan penerbangan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor, dengan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dari 10 hingga 12 Oktober akibat jerebu, sebelum melanjutkannya sehingga 13 Oktober.
Secara berasingan, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG) pada 13 Oktober berkata kededua lapangan terbang di Changi dan Seletar masih berkhidmat, manakala 16 penerbangan dari Seletar dilencongkan pada 5 hingga 11 Oktober akibat jarak penglihatan yang terhad disebabkan jerebu.
“Sesetengah syarikat penerbangan memilih untuk mengubah jadual atau membatalkan penerbangan berdasarkan keadaan semasa,” kata mereka.
Singapura kini diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan serantau.
Menurut laman web Firefly, penerbangan yang dibatalkan ialah:
Subang ke Seletar: FY3122, FY3124, FY3126 dan FY3132 (13-14 Oktober); FY3128 dan FY3130 (13 Oktober).
Seletar ke Subang: FY3123, FY3125 dan FY3127 (13-14 Oktober); FY3129, FY3131 dan FY3133 (13 Oktober); FY3144 (14 Oktober).
Firefly dalam laman webnya menyatakan bahawa penumpang terjejas akan dipindahkan ke Malaysia Airlines bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura, seberapa mungkin.
Mereka yang tidak mahu menerima penerbangan gantian yang ditawarkan boleh mendapatkan bayaran balik sepenuhnya, tambah laman web itu.
CAAS dan CAG menyatakan bahawa langkah tambahan akan diambil jika jerebu bertambah buruk, termasuk menyalakan lampu lapangan terbang pada waktu siang bagi meningkatkan jarak penglihatan serta menjarakkan masa lebih panjang antara pendaratan dengan pelepasan pesawat.
Mereka menambah, syarikat penerbangan dan kesatuan sekerja sedang mengambil langkah untuk melindungi pekerja yang bertugas di luar, seperti meneliti semula kegiatan luar yang tidak penting dan memastikan bekalan pelitup muka N95 yang mencukupi bagi kakitangan lapangan terbang.
CAAS dan CAG terus “memantau Indeks Pencemaran Udara (PSI) dengan teliti serta mengambil langkah melindungi” penumpang dan kakitangan pesawat.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bacaan PSI 24 jam mencecah paras “tidak sihat” buat kali pertama pada 4 September 2026 akibat jerebu dari Sumatera dan Kalimantan.
Bacaan itu kemudian melonjak ke paras tertinggi bagi 2026, iaitu 192 di kawasan tengah Singapura dari 5 petang hingga 8 malam pada 9 Oktober.
Pada hari sama, pasukan petugas jerebu membuat pengumuman bahawa pelitup muka N95 akan diedarkan kepada golongan yang mudah terjejas andainya mutu udara mencapai paras “sangat tidak sihat”.