Syarikat penerbangan Malaysia, Firefly, sekali lagi melanjutkan pembatalan penerbangan laluan Subang-Seletar hingga 14 Oktober.

Firefly sebelum ini membatalkan penerbangan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dengan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dari 10 hingga 12 Oktober akibat jerebu, sebelum melanjutkannya sehingga 13 Oktober.

Secara berasingan, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG) pada 13 Oktober berkata kededua lapangan terbang di Changi dan Seletar masih berkhidmat, manakala 16 penerbangan dari Seletar dilencongkan pada 5 hingga 11 Oktober akibat jarak penglihatan yang terhad disebabkan jerebu.

“Sesetengah syarikat penerbangan memilih untuk mengubah jadual atau membatalkan penerbangan berdasarkan keadaan semasa,” kata mereka.

Singapura kini diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan serantau.

Menurut laman web Firefly, penerbangan yang dibatalkan ialah:

Subang-Seletar: FY3122, FY3124, FY3126 dan FY3132 (13–14 Oktober); FY3128 dan FY3130 (13 Oktober).

Seletar-Subang: FY3123, FY3125 dan FY3127 (13–14 Oktober); FY3129, FY3131 dan FY3133 (13 Oktober); FY3144 (14 Oktober).

Penumpang yang terjejas akan dipindahkan ke Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Singapura, bergantung pada kekosongan tempat duduk.

Mereka yang tidak mahu menerima penerbangan yang ditawarkan boleh mendapatkan bayaran balik.

CAAS dan CAG menyatakan langkah tambahan akan diambil jika jerebu bertambah buruk, termasuk menyalakan lampu lapangan terbang pada waktu siang bagi meningkatkan jarak penglihatan serta menjarakkan masa antara pendaratan dengan pelepasan pesawat.

Syarikat penerbangan dan kesatuan sekerja turut menyemak kegiatan luar serta memastikan bekalan pelitup N95 mencukupi untuk pekerja.

CAAS dan CAG terus memantau Indeks Pencemaran Udara (PSI) serta mengambil langkah melindungi penumpang dan kru.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bacaan PSI 24 jam mencecah paras “tidak sihat” buat kali pertama pada 4 September 2026 akibat jerebu dari Sumatera dan Kalimantan.

Bacaan itu kemudian melonjak ke paras tertinggi pada 2026, iaitu 192 di kawasan tengah Singapura dari 5 petang hingga 8 malam pada 9 Oktober.

Pada hari sama, pasukan petugas jerebu mengumumkan pengedaran pelitup muka N95 kepada golongan yang mudah terjejas apabila mutu udara mencapai paras ‘sangat tidak sihat’.